Akrab dengan al-Quran menjadikan Abil seorang yang tabah. |
Perkara ini timbul apabila dia mula melakarkan perjalanan hidupnya menjaga Fauziah, 38, yang menderita akibat kerosakan saraf pada otak, menerusi blog sejak April lalu.
Abil menjadikan laman blog yang didaftarkan atas nama 'abil4fauziah' sebagai diari.
Ketika dihubungi Sinar Harian Online, Abil berkata, satu kiriman pesanan ringkas yang diterimanya sebelum ini cukup meruntunkan hatinya apabila ada pihak yang cuba menuduhnya mencari publisiti atas kesengsaraan dialami isterinya.
“Saya kecewa. Saya tak sangka ada pihak yang sanggup menuduh saya sedemikian rupa,” katanya yang tidak pernah terfikir untuk mengambil kesempatan atas keadaan isterinya.
Dia yang tinggal di Seremban berkata, SMS yang diterima lebih kurang berbunyi, “Encik Abil saja reka cerita nak cari publisiti ke? Buat blog untuk 'promote' diri? Nak tunggu dapat anugerah suami mithali? Supaya dapat gelaran Datuk?"
“Saya terkilan apabila ada pihak yang menuduh saya sebegitu,” katanya dengan nada penuh kesal sambil beristighfar panjang.
Ceritanya, SMS itu diterima Jun lalu daripada insan yang tidak dikenali dan dia cuba menerangkan dengan cara baik, namun gagal.
“Saya buat blog ini atas nasihat kawan, selain saya mahu apabila dia sihat nanti, blog ini dapat menjadi tukang cerita kerana memorinya hilang sepanjang dia sakit,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
“Melalui blog yang saya kemas kini tiga hari seminggu ini juga saya dapat mengumpulkan dana untuk isteri saya. Apabila mereka membaca, sebahagian besar mereka menyumbang.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan kemurahan hati mereka. Dana yang saya kumpulkan untuk isteri saya tidak pernah saya salah gunakan. Semua untuk dia,” jelasnya.
Abil menambah, baju raya mahu pun kasut raya tidak dibeli sejak tahun lalu.
Katanya, baju kurung Melayu yang digunakan pada hari pernikahan mereka sekitar tiga tahun lalu menjadi baju Aidilfitri tahun ini.
“Saya langsung tidak membeli apa-apa keperluan untuk diri saya kecuali makan dan minum,” ujarnya.
Bercakap soal raya, Abil begitu teruja menceritakan kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini.
“Tahun ini sangat meriah. Meskipun keadaan isteri saya begini, namun saya sangat gembira. Kami sekeluarga gembira.
“Ahli keluarga semuanya pulang ke Seremban dan memasak makanan hari raya bersama-sama. Sangat berbeza dengan tahun lalu,” katanya.
Menurut Abil, tahun lalu merupakan sejarah di mana bulan Syawal 'diiringi' kemurungan dan kesedihan.
Namun dia percaya ALLAH akan menggantikan kesedihan dengan kebahagiaan tahun ini.
“Orang ramai tidak putus-putus datang berkunjung untuk beraya sambil menziarah. Ada yang saya kenal tetapi ramai juga yang saya tidak kenal datang bersama keluarga.
“Bukan kawasan sini saja, ada yang datang jauh dari Kelantan dan Johor,” katanya.
Beralih kepada topik kahwin, Abil ketawa kecil apabila soalan berkaitan diajukan.
“Kahwin lain? Kalau saya suka kahwin-kahwin, dah lama saya kahwin. Tidak perlu tunggu berumur 40 tahun baru nak kahwin,” katanya.
Fauziah merupakan cinta pandang pertamanya.
Menurut Abil, ramai rakan-rakan terdekat yang mencadangkan agar dia berkahwin lain, namun dia menolak.
“Perempuan berkahwin supaya ada seseorang menjaga dia, jadi saya menjalankan apa yang diamanahkan.
“Saya tak rasa saya mampu memberi fokus kepada dia sepenuh masa jika saya berkahwin lain,” katanya yang mengakui tidak pernah terlintas untuk berkahwin lain.
Tambah Abil, sebelum ini Fauziah pernah bertanya, “kalau saya sakit tak boleh bangun, awak kahwin lain tak?”
Kata Abil, ketika itu dia tidak mampu menjawab kerana dia tidak boleh memberi jawapan.
“Kini, saya boleh jawab. Selagi dia isteri saya, walaupun rupa dia berubah, saya tetap sayangkan dia.
“Kalau saya tak sayang dia, boleh saja saya hantar dia ke kampung dan setiap bulan saya kirim duit,” katanya.
Sementara itu, Abil menolak apabila rutin hariannya itu dikaitkan dengan rasa bosan, penat dan tertekan.
“Tak ada kerja di dunia ini yang tak penat. Tak kerja pun penat. Penat itu normal.
“Saya dah tahu saya akan rasa penat, muak, bosan dan tertekan, jadi saya sudah ubah perasaan itu jadi penghibur hati sejak awal. Saya kawal hati saya,” jelasnya.
Menerima pelbagai bentuk sokongan daripada orang ramai membuatkan dirinya lebih bersemangat menjalankan rutin hariannya.
“Saya semakin bersemangat setiap hari. Ada yang SMS ada yang telefon ada yang tinggal pesanan di laman sosial. Terima kasih untuk keprihatinan anda semua,” katanya.
Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkan bantuan kepada Fauziah melalui akaun Maybank atas nama Abil, akaun 1551-7109-4087 atau menghubungi Abil sendiri menerusi 016–2634258.
---> blog Encik Abil