BOROI. Malangnya perkataan itu, ia jadi musuh hampir semua orang.
Bagi lelaki, mereka sanggup buat apa sahaja untuk memastikan diri tidak
termasuk dalam golongan yang malang itu terutama apabila usia
menjangkau 40-an.
Namun dalam berusaha, hanya sedikit yang berjaya. Ini berkait dengan
banyak sebab, pemakanan, gaya hidup juga soal istiqamah dalam bersenam.
Bagi wanita pula, mereka seboleh mungkin tidak mahu pasangan boroi
kerana hakikatnya, sesiapa yang boroi akan dipandang hodoh seperti kuih
yang tidak ikut bentuk acuan.
Namun dalam berdepan dengan isu boroi, kita kadang kala diperdengarkan
dengan kenyataan-kenyataan yang membawa maksud bahawa lelaki boroi juga
punya kelebihan.
Ini termasuk pengakuan oleh wanita sendiri yang saya dapati melalui
tinjauan media sosial menyebut bahawa lelaki boroi itu seksi. Benarkah?
Saya kira ini mungkin sekadar alasan untuk menyedapkan hati kerana
secara relatif, bagaimana boroi mahu dianggap seksi. Apakah kuih yang
jadinya tidak mengikut bentuk acuan semestinya sedap?
Ya, saya sendiri termasuk dalam kategori boroi. Dan untuk menyedapkan
hati sendiri, sejak berkahwin, saya sering mengatakan kepada sesiapa
sahaja yang membangkitkan isu keboroian saya bahawa hanya jauhari yang
mengenal manikam. Kononnya, hanya wanita yang bersuamikan lelaki boroi
sahaja tahu kelebihan kami.
Kadang kala saya membuat perbandingan bahawa kami yang boroi ini
seumpama minyak masak Seri Murni yang melalui proses pemeringkatan dua
kali untuk mendapat kualiti terbaik.
Sesiapa yang tidak fahami metafora ini, cuba-cuba fikir sendiri untuk mendapatkan jawapannya!
Baru-baru ini saya ditemukan dengan satu lagi kenyataan bahawa lelaki
boroi dikatakan lebih penyayang, berfikiran jauh (mungkin sebab hujung
perutnya lebih jauh dari otak) dan satu lagi, seksi.
Itu berkaitan dengan boroi.
Dalam kes gemuk atau berat badan berlebihan, satu soal selidik di
Jerman mendapati lelaki yang termasuk dalam kategori itu lebih setia
dalam percintaan berbanding mereka yang mempunyai berat badan ideal
ataupun kurus.
Sekumpulan lelaki berusia antara 31 hingga 69 tahun ditanya mengenai
tahap kesetiaan mereka dalam hubungan cinta termasuk yang sudah
berkahwin.
Hasilnya mendapati daripada 53 peratus yang memberikan jawapan, hanya
11 peratus yang mengaku benar-benar setia dan mereka terdiri daripada
lelaki-lelaki gemuk.
23 peratus lagi yang dikenal pasti mempunyai berat badan ideal, mengaku
curang. Demikian juga 19 peratus mereka yang dikategorikan sebagai
kurus.
Apa pun, saya tidak jamin ini juga cerminan bagi orang kita.
Namun harus jadi ingatan bahawa setiap apa yang padanya ada kelebihan,
pasti ada kekurangan dan setiap yang dianggap kurang, pasti ada
kelebihan. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada, dan bagaimana seadanya
kita.
Kepada mereka yang termasuk kategori gemuk atau boroi, usahlah lagi
bergundah gulana. Jangan dibenci, apa lagi dikeji 'tembikai masak' anda
kerana di situlah tersimpan rahsia kelebihan diri anda yang tidak banyak
diketahui orang.
Uar-uarkanlah bahawa anda bukanlah kuih yang jadinya tidak mengikut
acuan kerana bahulu yang rupanya cantik molek bukan semestinya sedap!
Kepada isteri-isteri yang suaminya boroi atau gemuk, anggaplah diri
anda bertuah kerana zaman sekarang, ramai suami yang tidak setia.
Yakinlah selagi mana perut suami anda boroi dan badannya juga gemuk,
itulah tanda dia setia.
Lazimnya, jarang ada wanita muda yang mahu lelaki seperti itu melainkan jika dompetnya juga benar-benar boroi dan gemuk!