Widgets

petai oh petai ...

wooo ... wooo ... wooo ...
petik petai payah tau ...
x caya ke ? mai baca sini ...
hehuhuhuehe


Petik petai bukan satu kerja mudah 
 
LANGKAHNYA pantas menyusuri denai dan laluan berbukit di sekitar kawasan hutan yang dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Lagong, Selangor itu.


Pergerakannya yang lancar dan teratur jelas menunjukkan bahawa dia sudah mahir dengan selok-belok jalan hutan yang dikelilingi pokok-pokok rimbun serta menjulang tinggi itu.

Tiba-tiba langkah lelaki berusia 26 tahun itu terhenti. Matanya tertumpu ke arah sebatang pokok setinggi kira-kira 20 hingga 25 meter tidak jauh dari lokasi tempat dia berdiri.

Azmi Ghazali tersenyum, perjalanan hampir setengah jam itu ternyata berbaloi baginya. Pokok berdaun halus itulah yang dicari-carinya.

Dia mendongakkan kepalanya melihat buah berwarna hijau dalam lenggai panjang lurus atau berpintal yang berjuntaian di hujung dahan.

“Nampaknya, tak banyak lagi petai yang tinggal, ada orang lain yang tiba lebih awal dan sudah mengambilnya.

“Tapi tak mengapa, itu rezeki mereka, lagi pun khazanah hutan ini bebas dinikmati sesiapa. Jika tak dapat jual pun, masih boleh dijadikan hidangan saya sekeluarga,” katanya kepada penulis dan jurugambar, Zulkarnain Mohd. Saidin, yang turut sama mengekorinya.

Tanpa berlengah, Azmi mula mencari pokok bertam yang hidup subur di sekitarnya. Dia mahu menggunakan batang pokok berduri itu sebagai galah untuk mengait petai sewaktu berada di atas pokok nanti.

Anak jati Kampung Orang Asli Bukit Lagong itu memberitahu, penggunaan galah penting kerana petai sering berbuah di hujung-hujung dahan. Panjang galah pula bergantung kepada ketinggian pokok, lazimnya antara lima hingga enam meter.

Sebelum memanjat, secara tiba-tiba dia menepuk kedua-dua tangannya di pangkal pokok itu beberapa kali.

“Ini petua orang-orang tua dulu, bertujuan menghalau lebah atau tebuan sekiranya bersarang di batang atau dahan pokok. Kalau tidak, bukan dapat bawa balik petai, tapi bisa akibat disengat,” guraunya.

Umpama watak adiwira Spiderman, Azmi tangkas memanjat batang pokok sebesar dua pemeluk lelaki dewasa itu dengan menggunakan tulang empat keratnya, tanpa sebarang alatan keselamatan.
SAMBAL tumis udang petai antara menu yang digemari oleh ramai orang.

Tidak sampai lima minit dia sudah berada di atas pokok. Berbekalkan galah yang dibawa, dia memulakan pencariannya.


Dengan berhati-hati dia mula memanjat dari dahan ke dahan sambil menjolok buah-buah petai yang berjuntaian. Teknik itu perlu dilakukan dengan teliti dan cermat kerana petai perlu dikait bersama tangkainya bagi memastikan ia tahan lama dan tidak cepat rosak.

Perlahan-lahan dia menurunkan petai yang telah dikumpulnya dengan seutas tali nilon yang turut disemat bersama. Selepas berpuas hati, Azmi mula menggelongsor turun dan dalam beberapa saat sahaja kakinya sudah kembali menjejak bumi.

Warisan keluarga

Sambil berehat dan menggulung rokok daun tembakau kegemarannya, Azmi berkata, dia mewarisi pekerjaan itu daripada bapanya, Ghazali Nordin, 56, yang juga seorang pencari petai.

“Semasa kanak-kanak dulu saya selalu ikut bapa masuk hutan mencari petai, jering atau kerdas serta beberapa hasil hutan seperti akar-akar kayu untuk tujuan perubatan.

“Selepas tamat sekolah saya mencari petai sebagai sumber pendapatan di samping melakukan kerja-kerja kampung,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Ujar Azmi, sekiranya musim petai berbuah iaitu di antara bulan Mac hingga April atau Ogos dan September, dia bersama beberapa rakan sekampungnya akan masuk ke hutan berhampiran untuk mencari petai. lazimnya, rutin itu dilakukan sekerap dua hingga tiga kali seminggu.

Katanya, waktu yang sesuai untuk memanjat pokok petai adalah pada waktu pagi dan petang kerana ia agak kurang berangin berbanding waktu-waktu lain.

“Pada ketinggian lebih 20 meter di atas pokok, kehadiran sedikit angin sahaja pun sudah cukup menyebabkan pokok bergoncang kuat, situasi itu pastinya membahayakan.

PETAI merupakan salah satu sumber hutan yang boleh mendatangkan sumber rezeki.


“Di samping itu, terdapat juga risiko-risiko lain seperti dahan reput atau terjumpa haiwan liar dan berbisa seperti babi hutan dan ular membuatkan pencari petai sentiasa berhati-hati,” ujar anak kelima daripada 14 beradik itu.


Ditanya mengenai perbezaan antara buah yang sudah masak dan muda, Azmi mempunyai jawapan yang ringkas.

Jelasnya, dia sering berpandukan kepada tiupan angin. Jika juntaian buahnya kelihatan berat apabila ditiup angin, itu menandakan petai itu telah masak dan sesuai dikait dan begitulah sebaliknya.

Ujarnya, biarpun terpaksa berjalan jauh di dalam hutan dan berdepan dengan pelbagai risiko, namun ia berbaloi apatah lagi selepas berjaya membawa pulang 500 hingga 600 papan sehari.

“Ia kemudiannya dijual kepada orang tengah atau peraih pada harga di antara RM40 hingga RM60 bagi setiap seratus papan bergantung kepada musimnya,” katanya.

Tradisi berubah

Biarpun mempunyai nilai yang tinggi di pasaran namun tidak ramai golongan muda termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli sendiri yang ingin mewarisi tradisi memanjat petai seperti Azmi.

Seorang bekas pemanjat petai, Mohd. Semi Abdullah, 47, memberitahu suasana itu berbeza berbanding dahulu. Kebanyakan penduduk Orang Asli sepertinya bergantung kepada hasil hutan seperti mencari petai dan melakukan kerja-kerja kampung sebagai sumber pendapatan.

Katanya, sejak usia belasan tahun dia diajar meredah hutan, mengenali akar-akar kayu, memanjat pokok dan sebagainya.

“Hari ini, tidak ramai generasi muda yang berminat mewarisi pekerjaan itu. Tahap pendidikan mereka semakin meningkat. Habis sekolah, rata-ratanya lebih berminat masuk kolej atau universiti.

“Jika tidak pun, mereka lebih berminat mencari pekerjaan di bandar yang bukan sahaja selesa tetapi turut menawarkan gaji tetap dan pastinya lebih lumayan,” jelasnya.

Tambah Mohd. Semi, musim petai merupakan saat yang paling ditunggu-tunggu oleh pencari petai sepertinya.

“Kami sering menjelajah jauh ke dalam hutan tebal termasuk di sekitar sempadan Templer atau Sungai Dua, Ulu Yam untuk mencari petai,” katanya yang kini tidak lagi aktif memanjat akibat faktor usia.

Bercerita tentang pengalamannya, Mohd. Semi berkata, pernah satu ketika ketika dia sedang leka mencari petai di sekitar Sungai Tua, sekumpulan lebah tiba-tiba datang mengerumuninya.

“Masa itu agak banyak juga petai yang telah dikait, tapi belum sempat dibawa turun. Melihat lebah semakin hampir, saya pantas turun menyelamatkan diri, mujurlah tiada apa-apa berlaku, tetapi saya terpaksa pulang dengan tangan kosong.

“Itu belum lagi pengalaman terjatuh dari pokok, dikejar babi hutan dan sebagainya, bagi saya semua itu alah bisa tegal biasa,” ungkapnya sambil terbayang insiden lalu.

hummmm : kadang-kadang best jugak makan petai ni...hehe...biasa lihat orang jual petai ni masa on da way balik ke ganung dari kuala lipis...ape ntah name tempat tu...hik3





    

Komen Facebook
0 Berikan komen anda

Post a Comment

abam ming. Powered by Blogger.