Widgets

bahasa terlarang ...



Fenomena pelajar sekolah menulis karangan menggunakan ...


bahasa singkatan SMS dan bahasa sembang siber atau chatting, semakin serius selepas kemunculan pelbagai laman interaktif serta laman sosial di internet seperti Facebook dan Twitter.

Kebiasaan menggunakan bahasa singkatan itu menyebabkan pelajar terbawa-bawa ketika menulis karangan subjek Bahasa Melayu dalam peperiksaan, sekali gus menjejaskan mutu karangan dan mempengaruhi jumlah markah. Antara bahasa singkatan yang digunakan ialah Askm bagi menggantikan Assalamualaikum, tidak (X); yang (yg); bila (bla); masa (mse); saya (sy); telefon (tpon/fon); dengan (ngan/dgn); terima (tima) dan sebab (coz). Perkara itu diakui guru sekolah yang mendakwa ia semakin kronik disebabkan kebanyakan pelajar terlalu asyik melayari laman sosial sama ada menerusi komputer atau telefon bimbit untuk berinteraksi.

Justeru itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengeluarkan panduan singkatan SMS bahasa Melayu bagi penggunaan umum, dan bukannya digunakan pelajar dalam pemeriksaan awam.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata kecenderungan masyarakat terutama remaja dan pelajar sekolah yang gemar mencipta singkatan SMS bahasa Melayu pelik hanya boleh difahami rakan sebaya.

Katanya, lebih membimbangkan, golongan ini semakin biasa menggunakan bahasa SMS dalam pelajaran sehingga terbawa-bawa ketika menulis karangan yang akhirnya menjejaskan keputusan peperiksaan dalam subjek Bahasa Melayu.

Guru bahasa Melayu, Noor Hafizah Jauhari, berkata gejala itu menyebabkan beban guru bertambah kerana perlu memberi tumpuan lebih kepada pelajar untuk menasihat dan menegur supaya tidak terus menggunakan bahasa SMS dalam penulisan formal.

“Dulu, penggunaan bahasa singkatan SMS hanya terbatas menerusi telefon bimbit saja, tetapi kini pelajar terdedah kepada teknologi, internet dan laman sembang sosial terutama Facebook. Lama-kelamaan pelajar menjadi biasa menulis jawapan atau mengarang menggunakan singkatan SMS. Kebiasaan ini boleh menjejaskan markah peperiksaan kerana setiap kesalahan ejaan dalam subjek Bahasa Melayu akan menyebabkan pemotongan tiga markah maksimum,” katanya yang mengajar di sekolah berasrama penuh di Melaka.

Beliau berkata, kadang-kadang ada guru terpaksa menghukum pelajar menulis menggunakan bahasa SMS dengan mengarahkannya menulis perkataan formal sebanyak 100 kali sebagai pengajaran bagi memastikan mereka tidak mengulangi kesilapan.

Guru Cemerlang Bahasa Melayu dari Segamat, Mohd Noor Abdullah, berkata pengaruh internet di kalangan pelajar mendominasi cara penulisan karangan peperiksaan, sekali gus mencacatkan mutu karangan.

Katanya, pelajar bukan saja menggunakan bahasa SMS, malah menulis ayat pendek, bahasa songsang dan bahasa rojak disebabkan kebiasaan menulis seperti itu dalam laman sembang internet.

“Ia amat mendukacitakan guru bahasa Melayu kerana pelajar bukan saja dikesan melakukan kesalahan ejaan, malah membina ayat pendek dan tergantung serta melanggar tatabahasa. Lebih teruk lagi ada pelajar mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau membuat ejaan baru dalam karangan yang akhirnya mewujudkan pelbagai versi ayat atau perkataan baru dalam penulisan mereka,” katanya.

Berikutan itu, Mohd Noor berkata, beberapa langkah perlu dilaksanakan bagi menangani perkembangan tidak sihat itu, termasuk menggalakkan guru mengajar bukan bahasa Melayu lebih kerap menggunakan bahasa formal atau baku bagi mengelak pelajar keliru atau gagal menguasai tatabahasa Melayu.

Katanya, setiap pelajar juga perlu sedar perbezaan penggunaan bahasa baku dengan bahasa harian dalam penulisan, manakala ibu bapa pula bertanggungjawab mendidik anak menggunakan bahasa perbualan di rumah yang tidak merosakkan bahasa Melayu.
 




   
Sementara itu, guru panitia Bahasa Melayu sebuah sekolah di Melaka, Rohana Karno berkata, masalah penggunaan singkatan SMS dalam penulisan atau karangan peperiksaan bergantung kepada tahap pencapaian seseorang pelajar dan status sesebuah sekolah sama ada sekolah biasa atau berasrama penuh.

“Masalah itu mungkin kurang berlaku di kalangan pelajar yang belajar di sekolah berasrama atau sekolah kluster kerana majoriti pelajarnya bijak atau cemerlang. Namun, perkara itu tetap mendapat perhatian guru bagi mengelak ia menjejaskan prestasi sekolah,” katanya.

hmmm : cuba kita bayangkan taip sms dengan menggunakan bahasa baku ? ha ha ... x dapat aku nak bayangkan macam mana tu... wooo ... wooo ...
Komen Facebook
0 Berikan komen anda

Post a Comment

abam ming. Powered by Blogger.