Di sebalik keghairahan bertemu empat mata dengan barisan pemain Chelsea,
ada perkara yang lebih menyentuh jiwa empat rakan karib apabila sempat
mendengar Nicolas Anelka (gambar) menjawab salam yang diberikan peminat
semasa sesi ramah mesra kelab Inggeris itu bersama peminat di ibu
negara, semalam.
Anak muda dari Hartamas itu tergamam sebentar
apabila pemain yang nama Islamnya, Abdul Salam Bilal Anelka itu peka
menjawab salam biarpun sibuk melayani kerenah peminat menyerbu
mendapatkan autograf dan bergambar.
“Kami hanya sempat bertemu dengan mereka kira-kira dua minit saja
tetapi dalam sibuk-sibuk itu, ada peminat lain yang memberi salam
(assalamualaikum) dan Anelka menjawabnya dengan cepat.
“Kami sangat gembira kerana dapat autograf dan bergambar dengan
pemain walaupun John Terry tidak ada dalam sesi itu,” kata Omar Ridzuan,
18 yang ditemani tiga rakannya, Syed Haris Umar (17), Syed Emir Ashman
(15) dan Syed ahmad Nazeem Syed Hussain (13).
Kira-kira 300
peminat kelab liga Inggeris, termasuk dari negara jiran Singapura dan
Indonesia menyerbu Hotel One World di Damansara Utama melihat secara
dekat pemain kegemaran mereka itu yang bakal bertemu Harimau Muda, esok.
Peminat berkenaan memilih Chelsea untuk menang 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti.