WALAUPUN kecewa dilayangkan kad merah, kapten Harimau Malaya, Safiq
Rahim memuji semangat dan kebangkitan rakan sepasukan dalam kekalahan
3-5 kepada Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan
Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar, malam kelmarin.
"Saya
sangkakan kad kuning, tetapi pengadil melayangkan kad merah terus. Saya
kecewa dengan keputusan itu kerana saya tidak berniat mengasari lawan,"
katanya.
Pengadil, Nawaf Shukralla dari Bahrain melayangkan kad merah kepada
pemain tengah berpengaruh itu pada minit ke-49 selepas mengasari Hariss
Harun, yang mengakibatkan skuad negara terpaksa beraksi dengan 10 pemain
ketika ketinggalan 1-4.
Namun, skuad negara bernasib baik apabila empat minit kemudian lawan
pula kehilangan pertahanan, Ismail Yunos gara-gara kad kuning kedua
akibat mengasari S Kunanlan.
Safiq percaya, kekalahan itu bukan
penamat kerana skuad kebangsaan masih ada baki 90 minit lagi dalam
perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil Khamis ini untuk
menebusnya.
"Walaupun saya tidak dapat bermain, saya percaya
peluang kita masih ada dan kita harus memanfaatkan sepenuhnya aksi di
gelanggang sendiri dengan memastikan sekurang-kurangnya menang 2-0 untuk
mara dengan peraturan gol di tempat lawan," katanya.