Dengan sekali lafaz, penyanyi Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 27, kini
sah menjadi suami kepada pramugari Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS)
Rahayu Abbas, 32, pada pukul 9.30 malam di Dewan Serbaguna AU2 Taman
Keramat, Kuala Lumpur, malam Jumaat.
Pasangan ini dinikahkan oleh Pegawai Pentadbir Agama dan Pendaftar
Kanan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Daim Jaluli berwalikan bapa
Rahayu, Abas Mohd Saidon.
Pada majlis itu, Rahayu menerima mas kahwin berjumlah RM300 beserta
sembilan dulang hantaran termasuklah wang hantaran sebanyak RM12697.11.
Manakala pihak lelaki pula menerima sebanyak 11 dulang hantaran.
Kedua-dua mempelai kelihatan cukup berseri apabila mengenakan pakaian nikah berwarna krim rekaan Hatta Dolmat.
Dianggarkan seramai 200 tetamu termasuklah keluarga, dan rakan media memeriahkan majlis nikah bertemakan bidadari itu.
Sementara itu, pasangan ini akan melangsungkan tiga resepsi perkahwinan
iaitu sebelah pihak perempuan di lokasi yang sama (2 Julai), majlis
bersama-sama rakan media di Saloma Bistro, Kuala Lumpur (6 Julai) dan
resepsi sebelah pihak lelaki di rumah keluarga Tomok di Alam Damai,
Cheras (9 Julai).