Biasanya, setelah suami isteri bergaduh dan bertengkar, mereka mahu
berdamai. Kalau boleh, mereka mahu supaya pergaduhan itu adalah yang
terakhir. Jadi mereka inginkan perdamaian yang kekal. Tetapi biasanya,
apa yang berlaku ialah sebaliknya. Perdamaian itu bersifat sementara.
Esok lusa mereka bergaduh lagi.
Antara faktor yang menyebabkan suami isteri bergaduh dari masa ke masa
ialah kerena mereka tidak menggunakan teknik-teknik yang betul untuk
berdamai. Pakar-pakar komunikasi interpersonal memberi panduan bagaimana
cara untuk mencapai perdamaian yang tahan lama.
1. Jangan merajuk
Sejak masik kanak-kanak lagi, perempuan sudah pandai menggunakan
strategi merajuk untuk mendapat apa yang mereka hendak. Perbuatan
merajuk ialah sejenis tingkah-laku manipulatif, atau putar-belit. Ramai
isteri menggunakan strategi merajuk untuk menang dan untuk memaksa suami
mengalah. Apabila bergaduh, jangan suka merajuk.
Merajuk tidak berguna sama sekali untuk tujuan menyelesaikan masalah.
Malah ia boleh memburukkan lagi masalah yang ada. Walaupun dengan cara
merajuk isteri boleh mendorong suami mengalah, namun strategi merajuk
tidak membawa kedamaian yang kekal. Malah perbuatan merajuk sangat
membahayakan kerana ia akan menyusahkan usaha untuk berdamai semula.
Semakin kuat dan semakin lama rajuk seseorang isteri, semakin susah bila
mereka hendak berdamai. Ini disebabkan si suami tahu bahawa dia sedang
dihukum oleh isterinya dengan cara merajuk. Orang yang menganggap
dirinya dihukum tidak mempunyai dorongan untuk memulakan proses
berdamai.
Manakala orang yang menghukum tidak mahu berdamai selagi dia belum
menang. Isteri-isteri berani merajuk kerana dia yakin suaminya akan
mengalah dan memenuhi kehendaknya. Dengan itu, maka menanglah si isteri.
Tetapi itu adalah keyakinannya sahaja. Banyak perbuatan isteri adalah
berdasarkan keyakinan palsu. Lain kali, bila dia merajuk lagi, helah itu
mungkin memakan dirinya sendiri kerana tidak ada lelaki yang suka
dihukum oleh isterinya sendiri.
2. Jangan menghukum
Pergaduhan, pertengkaran dan koflik antara suami isteri meninggalkan
kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua-dua belah pihak. Dalam
keadaan begitu, masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain
kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan
perbuatan salah pihak yang satu lagi.
Lelaki dan wanita mempunyai cara-cara sendiri apabila menghukum
pasangan. Lelaki cenderung untuk "menarik diri" di mana mereka tidak
mahu lagi bercakap-cakap dengan isteri, melainkan terpaksa. Wanita pula
cenderung untuk merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak
mahu senyum dan tidak mahu melayan suami. Namun, hukuman tidak mungkin
menyelesaikan sebarang masalah. Hukuman juga tidak menolong proses
berdamai. Malah hukuman akan hanya mempercepatkan proses kerosakan
hubungan. Walau apa bentuk hukuman sekalipun, sama ada ia kecil ataupun
besar, hukuman hanya menyukarkan proses perdamaian. Jadi, kalau benar
masih ada niat mahu berdamai, jangan menghukum.
3. Jangan berdusta
Kalau pasangan kita menunjukkan sikap mahu berdamai, dan kita sendiri
pun mahu berdamai juga, jangan berdusta. Jangan pura-pura tarik harga
atau jual mahal. Jangan pura-pura tidak sudi. Jangan pura-pura sudah
benci. Perbuatan seperti itu ada risikonya. Dia mungkin menyangka kita
betul-betul tak sudi dan tidak mahu berdamai. Akibatnya, dia terdorong
bersedia untuk melupakan usaha berdamai.
4. Jangan mencari salah
Kalau mahu berdamai, berhentikan tabiat suka mencari salah orang. Di
sini, mencari salah termasuklah perbuatan mencari kelemahan-kelemahan
dan kekurangan-kekurangan orang itu, dan menuduh orang itu salah atau
silap. Ia juga termasuk perbuatan berleter, menegur, mengkritik dan
menasihati orang itu. Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian.
Kajian-kajian mendapati, wanita cenderung menuduh suami mereka bersalah
apabila berlaku masalah dalam hubungan perkahwinan.
5. Berhentikan bahasa negatif
Dua jenis bahasa negatif yang biasa digunakan apabila bergaduh ialah:
bahasa tuduhan dan bahasa celaan. Kalau mahu berdamai, berhentilah
daripada menggunakan bahasa negatif.
"Ini semua kerana sikap awak yang tak betul tu." (tuduhan)
"Kenapa abang tak mahu dengar nasihat saya?" (tuduhan)
"Ini salah awak juga." (tuduhan)
"Kalau awak baik dan sayang kepada anak isteri, kita takkan
selalu bergaduh." (tuduhan)
"Abang tak guna langsung." (celaan)
"Awak tak senonoh!" (celaan)
"Abang ni, sekolah saja tinggi, tapi otak bodoh juga." (celaan)
"Awak tak sedar, diri awak tu siapa." (celaan)
Untuk tujuan berdamai, tukar bahasa negatif kepada bahasa positif.
Jenis-jenis bahasa positif yang sangat baik kesannya kepada hubungan
cinta suami isteri ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan
sanjungan. Gunakan bahasa ini dengan murah dan lumayan.
6. Bercakaplah tentang hari ini dan esok
Setelah berdamai, jangan bercakap melainkan tentang hari ini dan hari
esok. Jangan pandang ke belakang, melainkan untuk tidak mengulang lagi
kesilapan kita sendiri pada masa lalu. Jangan sekali-kali mengungkit
perkara-perkara yang menyebabkan konflik itu. Jangan sentuh apa yang
sudah terjadi, sebaliknya bercakaplah tentang apa yang hendak dibuat.
Buangkan perkataan "dahulu" dan "semalam" daripada kata- kata kita.
Kedua-dua perkataan itu sangat berbahaya. Tidak ada siapa pun yang boleh
menyelesaikan "dahulu" dan "semalam".
7. Senyum semula
Di dalam sebuah kajian, antara perkara yang banyak disebut oleh lelaki
terhadap bekas-bekas isteri mereka ialah bahawa isteri mereka tidak
senyum lagi. Jadi, senyumlah, walaupun susah, kerana senyuman ialah cara
yang mujarab untuk berdamai semula.
8. Mulakan berdamai
Biasa terjadi, konflik yang berlaku itu berlarutan beberapa lama kerana
masing-masing tidak mahu memulakan proses berdamai. Walaupun
masing-masing mungkin mahu berdamai, tetapi masing-masing takut risiko
jika dia yang memulakannya. Mana tahu kalau orang itu tidak mahu
berdamai? Kalau benar kita mahukan perdamaian, ambil langkah pertama
untuk berdamai. Jangan tunggu sampai orang itu yang mesti memulakannya.
Tunjukkan bukti bahawa kita mahu berdamai. Gunakan kata-kata ataupun
perbuatan. Andai kata orang itu menolak usaha kita, kerana dia memang
tidak mahu berdamai, sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk
berdamai, jadi kita tidak berasa bersalah lagi atas alasan kurang usaha.
9. Kenal pasti punca masalah
Masalah ialah punca konflik yang utama. Selagi punca masalah itu tidak
dikenal pasti dengan tepat dan diatasi, selagi itu konflik yang sama
akan berulang-ulang kali tercetus lagi. Sebagai contoh, perbuatan isteri
yang suka mengugut suami mungkin menjadi punca konflik. Selagi tabiat
buruk itu tidak diatasi, selagi itu si isteri akan mengulang
ugutan-ugutannya, dan konflik demi konflik akan tercetus. Kenal pasti
dengan tepat punca masalah itu. Tujuannya bukanlah untuk
mengungkit-ungkit perkara yang sudah berlaku, tetapi untuk
mengelakkannya daripada berulang lagi pada masa depan. Apabila mengenal
pasti punca masalah, jangan gunakan perkataan-perkataan yang berfungsi
sebagi label kepada perbuatan orang itu. Gunakan perkataan-perkataan
yang menerangkan apa yang sebenarnya dia telah lakukan sehingga
tercetusnya konflik.
a. "Awak tak bertanggungjawab." (x)
"Saya mahu supaya saya diberi wang belanja dapur yang cukup
tiap-tiap bulan." (/)
b. "Awak degil." (x)
"Saya mahu supaya cakap saya didengar dulu sebelum awak
bantah." (/)
c. "Awak sudah bosan dengan saya." (x)
"Saya mahu supaya saya diberikan sedikit perhatian, jadi saya
tak berasa diri saya diabaikan." (x)
10. Kenal pasti perubahan
Terangkan dengan bahasa yang tepat apakah perubahan yang kita mahukan.
Oleh kerana konflik biasanya berpunca daripada tingkah-laku yang tidak
disetujui, maka cara berdamai ialah dengan mengubah tingkah- laku itu.
Ramai orang, apabila mereka mahu supaya pasangannya mengubah
tingkah-lakunya, mereka bercakap secara am dan kabur. Mereka menggunakan
perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna. Ini menyebabkan
pasangannya tidak faham dengan jelas tingkah-laku yang mana satu yang
mesti diubahnya.
Sebagai contoh, perkataan biadab di dalam ayat "Awak biadab." mempunyai
makna yang kabur, kerana perkataan itu tidak memberitahu dengan tepat
perbuatannya yang mana satu yang dimaksudkan sebagai biadab. Jadi,
sukarlah bagi si isteri untuk mengenal pasti perbuatannya itu dan
bagaimana dia hendak mengubah tingkah-lakunya kepada yang "tidak
biadab".
a. "Jangan biadab pada saya." (x)
"Jangan menengking saya." (/)
b. "Jangan suka tunjuk gaya." (x)
"Tak payahlah awak belajar main golf." (/)
c. "Jangan pemalas." (x)
"Jangan selalu tidur siang." (/)
d. "Layan saya dengan betul." (x)
"Jangan paksa saya makan nasi bungkus selalu." (/)
e. "Jangan syirik." (x)
"Jangan bomohkan saya." (/)
Kebolehan mencari gaduh dan berkonflik dengan pasangan sendiri tidak
perlu dipelajari. Semua orang memiliki kebolehan itu sebagaimana semua
manusia memiliki kebolehan berlari. Tetapi kebolehan hidup dalam
perasaan seronok, gembira dan bahagia dengan pasangan mesti dipelajari
sebagaimana manusia perlu belajar cara berlari menggunakan teknik-teknik
yang betul. Cintailah keamanan ...
abam ming. Powered by Blogger.