Kaedah pertama: "Sahkan kewujudan seseorang." Berkomunikasi dengan cara
memberikan perhatian kepada orang yang menjadi teman komunikasi kita.
Antara perhatian yang paling bersar ialah memandang dan berhadapan
dengannya apabila berkomunikasi. Seseorang manusia secara fitrahnya mahu
dia tidak disisihkan oleh orang lain. Jadi sekiranya kita tidak acuh
pada teman komunikasi mungkin akan menyebabkan dia beranggapan kita
telah menyisihkan dia.
Rasulullah sendiri diajar supaya tidak
menyisihkan manusia di dalam penyampaian dakwahnya. Meskipun orang itu
hanyalah seorang hamba berkulit hitam.
Kaedah kedua: "Menyebut untuk menyatakan penghargaan." Sekiranya ada
orang yang menanam budi kepada kita, haruslah kita menyebut kebaikan dia
kepada dirinya supaya dia merasa budinya atau usahanya dihargai. Ini
penting bagi para kepimpinan. Pekerja bawahan akan merasa dihargai
apabila kerjanya dipuji oleh ketuanya.
Kaedah ketiga: "Bahasa." Penggunaan bahasa yang bersesuaian adalah amat
penting supaya sesuatu komunikasi itu dapat berlaku dengan berkesan.
Adalah amat rugi apabila bahasa yang indah tidak digunakan di dalam
komunikasi setiap hari. Seseorang yang sedang hangat bercinta sewaktu
menulis surat cintanya berusaha dengan bersungguh-sungguh sehingga
sanggup mengoyak surat yang tidak sesuai, mencari kalimah-kalimah yang
paling terbaik, dan merujuk buku-buku dan kamus untuk memastikan
suratnya menjadi wasilah komunikasinya yang paling berkesan. Mengapa
kita tidak mengaplikasikan senario tersebut di dalam perhubungan harian
kita? Adakah kerana kita malu dengan suasana? Yang pastinya jika kita
terlalu egois untuk merendah diri, memuji orang lain sekali-sekala,
menghormati, menunjuk sayang... kita sebenarnya memilih untuk tidak
didekati oleh sesiapa pun.
Gunalah bahasa yang terbaik di dalam komunikasi. Seimbangkan di antara
bahasa yang formal dan unformal. Melihat kepada situasi amat penting
supaya mampu menilai siapa teman komunikasi kita. Apabila sudah
mengenali mudahlah untuk menjalin komunikasi.
Bagaimana bahasa yang digunakan untuk komunikasi dengan keluarga? dengan
kawan-kawan? teman istimewa? ketua? perkerja bawahan? Tentunya
perbezaan ini menjadikan kita menganalisa komunikasi yang pernah kita
lakukan sebelum ini.
Kaedah keempat: "Meyakinkan orang lain terhadap diri kita." Untuk
meyakinkan orang lain terhadap diri kita memerlukan teknik yang
dipelbagaikan. Kaedah ini amat penting bagi seseorang kepimpinan. Pun
begitu tidaklah bermakna sekiranya anda bukan seorang kepimpinan kaedah
ini tidak penting. Untuk meyakinkan orang lain terhadap diri kita
perlulah kita membentuk diri menjadi modus operandi alias suri tauladan
sehingga orang mengkagumi dan yakin pada diri kita. Pembentukan akhlak,
perangai dan sikap adalah amat penting. Seseorang yang berakhlak baik
sebenarnya mempunyai peluang diyakini oleh orang lain.
Kaedah kelima: "Meluangkan masa untuk orang lain." Jangan menolak
pelawaan orang lain meskipun dia hanyalah orang bawahan anda. Sekiranya
dijemput menghadiri sesuatu majlis di dalam keadaan anda juga tiada
kelapangan untuk menghadiri kerana diundang ke majlis lain yang lebih
awal, jangan terus menolak. Terimalah dengan berkata: Saya akan berusaha
untuk hadir. Atau meolak dengan meminta maaf dan menyatakan sebab
adalah lebih baik dari terus membiarkan penjemput tertunggu-tunggu anda
hadir. Sekiranya anda sudah berkeluarga, luangkanlah masa untuk aktiviti
keluarga supaya anda mampu menjalin hubungan kasih dan sayang sesama
ahli keluarga anda. Sekiranya ada seorang kawan anda yang memerlukan
pertolongan anda luangkanlah masa untuk membantunya kerana ia akan
menambahkan kepercayaan dan keakrabannya terhadap anda. Bayangkan jika
anda menjauh dan menolak, apakah yang dia rasa saat itu? Selain kecewa
dan marah! Apakah anda tidak merasa bersalah?
Kaedah keenam: "Menghargai orang lain." Banyak cara untuk menghargai
orang lain. Di antaranya dengan memberikan hadiah hari lahir, memberikan
kad ucapan, membalas pemberian, mengucapkan tahniah dan memuji
kejayaan, belanja makan siang/malam, mengundang ke majlis yang anda
anjurkan, menunaikan janji dan sebaginya. Dengan menghargai orang lain
anda telah menanam kasih sayang dia terhadap anda. Kepercayaan dia
terhadap anda terbina sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan memulakan
majlis/mesyuarat tepat pada masa yang dijanjikan sebagai menghargai
orang yang dapat awal bukan memberi peluang untuk orang datang lewat
ditunggu sehingga majlis menghargai kedatangan mereka yang lewat itu.
Bagaimanapun apa yang saya tulis di sini bukanlah mencakupi keseluruhan
teknik atau kaedah komunikasi yang saya percaya masih banyak. Sekiranya
kita mampu membentuk 6 kaedah tersebut sekurang-kurangnya komunikasi
kita akan lebih baik berbanding sekiranya mengabaikan.
Adakalanya kita tidak mampu menggunakan kesemua apa yang dimiliki untuk
berkomunikasi akan tetapi walaupun kadangkala kita hanya menggunakan
satu atau dua aspek sahaja seperti hanya mampu berkomunikasi secara
bukan lisan atau penulisan semata-mata kita masih punya peluang untuk
berkomunikasi secara berkesan. Bagaimana orang bisu boleh memahami di
antara satu dengan lain? Bagaimana ibu menanamkan kasih sayang terhadap
anaknya yang masih tidak boleh berkata-kata? Bagaimana seorang penjaga
kucing mampu menjinakkan kucingnya? Semua ini adalah komunikasi yang
kurang dari sudut penggunaan aspek tetapi masih boleh berkesan.
Selain bertutur, komunikasi juga boleh dilakukan dengan melihat kepada
aspek lain seperti sentuhan (berjabat tangan), air muka, isyarat dan
persekitaran. Dengan memerhatikan aspek-aspek lain seperti yang saya
nyatakan itu anda juga mampu berkomunikasi dengan berkesan.
Untuk mewujudkan kasih sayang perlu banyak sentuhan. Berjabat tangan,
memeluk, dan mencium akan mudah menimbulkan mesra. Tetapi perlulah
digunakan di tempat yang sesuai. Seorang ibu lebih banyak membelai dan
menyentuh anaknya menyebabkan jalinan kasih di antara si anak dan ibu
lebih akrab berbanding anak dengan ayahnya, kecuali sekiranya si ibu
tidak melakukan aspek sentuhan tersebut... jalinan kasih itu akan
berpindah.
Orang bisu yang menggunakan bahasa isyarat dan riak wajah mampu
menyelami maksud yang disampaikan meskipun komunikasi mereka kekurangan
dari aspek pertuturan. Ini kerana mereka memberikan tumpuan pada gerak
badan, kedudukan, riak wajah, mata, posisi tubuh, jarak dan sebaginya
yang selalunya diabaikan oleh orang yang boleh bertutur.
Justeru adalah amat berharga jika kita yang diberikan pancaindera yang
cukup memanipulasikan anugerah Allah itu dengan sebaik-baiknya. Ucaplah
syukur dan berdoalah kepada Tuhan kerana dengan mengucap syukur kita dan
menggunakan anugerah di tempat yang baik kita akan mendapat kebaikan
dan keberkatan di sisi Allah SWT.