Pemimpin DAP itu berkata, rentetan peristiwa Bukit Kepong itu tidak boleh dipertikaikan dan mesti diterima kerana dokumen sejarah menyatakan bahawa anggota polis dan keluarga mereka berjuang menentang gerila komunis.
Karpal Singh berkata, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, sepatutnya segera bertindak meredakan keadaan dan menenangkan perasaan anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
"Saya bukannya anti PAS dan saya juga tidak anti Sabu, tetapi saya tidak bersetuju dengan kenyataan beliau dalam perkara ini," katanya.
Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, kenyatan Mat Sabu tidak wajar dan ia boleh menjejaskan parti pakatan.
"Beliau seharusnya menarik balik kenyataan kerana saya tidak nampak mengapa beliau tidak harus melakukannya. Saya tidak fikir apa yang beliau katakan itu mempunyai penghuraian positif bagi pakatan, ia negatif," kata Karpal Singh.
Mat Sabu yang kemudiannya menjelaskan tentang kenyataannya berkata, mereka yang menyerang Bukit Kepong adalah hero kerana mereka pejuang kebebasan, dan bukan kerana mereka menyerang anggota polis Melayu.- BERNAMA