Widgets

Sinopsis Ombak Rindu 2011

Linangan Air Mata Ombak Rindu


TAJUK: Ombak Rindu
GENRE: Cinta
PENGARAH: Osman Ali
PELAKON: Maya Karin, Aaron Aziz, Lisa Surihani, Normah Damanhuri, Azizah Mahzan, Bront Palare
TERBITAN: Tarantella Pictures Sdn. Bhd.



SEKALI IMBAS: Izzah seorang gadis kampung yang dilacurkan oleh pakcik sendiri dan diselamatkan oleh pelanggan pertamanya Hariz. Dibawa ke rumah, Hariz mahu Izzah menjadi perempuan simpanannya namun Izzah merayu agar Hariz mengahwininya. Lembut hati dirayu, akhirnya, Hariz mengahwini Izzah tanpa cinta di hati. Kerap kali bertemu dan layanan Izzah yang mesra membuatkan Hariz terpaut kepadanya.

Tatkala cinta berputik, Hariz dipaksa mengahwini kekasih yang juga teman sepermainannya di waktu kecil iaitu pelakon popular,Mila. Cuba untuk membatalkan perkahwinan tersebut namun desakan keluarga membuatkannya akur dengan pilihan yang ditentukan . Pelbagai kejadian berlaku berikutan perkahwinan tersebut serta cinta Hariz pada Izzah juga tidak mampu dipadam lagi.

Ulasan Penuh: Filem terbaru taruhan Osman Ali, Ombak Rindu telah pun membuka tayangannya di pawagam tempatan. Sebuah filem yang diadaptasi daripada novel nukilan Fauziah Ashari, yang merupakan antara novel yang mempunyai pengikut tersendiri, Ombak Rindu versi Osman Ali mempunyai daya tarikan tersendiri.

Tidak mengambil masa yang terlalu panjang, novel yang dibaca selama empat hingga ke lima jam ini, berjaya diolah dan divisualkan kepada 2 jam sahaja. Malah sekiranya penonton yang menonton filem tersebut tidak pernah membaca novelnya juga, sudah boleh memahami jalan ceritanya.

Masih mengekalkan jalan ceritanya namun Osman Ali bijak menggabungkan subplot yang ada supaya menjadi satu agar filem tersebut tidak bosan ditonton. Tampil selaku penulis skrip bersama Armantono, Osman Ali turut membuat sedikit rombakan pada watak utama agar ianya bersesuaian dengan konteks masyarakat tempatan dan paling penting dekat di hati penonton.

Mungkin ramai yang kurang selesa namun perubahan tersebut, dilakukan secara realistik dan kena dengan tempatnya. Sebagai contoh, Izzah ciptaan Osman Ali seorang wanita bertudung dan ayu. Namun watak tersebut di dalam novel berbeza sama sekali kerana Izzah tidak bertudung.

Saya tidak mempunyai masalah dengan rombakan yang dilakukan oleh Osman Ali kerana ia dilakukan sejajar dengan tuntutannya sebagai pengarah yang mengerti selok belok filemnya.

Jika mahu disentuh tentang cerita, jalan ceritanya 100 peratus tidak lari daripada novel. Sesuai juga dengan tema adaptasi yang hanya memerlukan plot yang diringkas.

Izzah dibawa ke bandar dan dilacurkan oleh pakciknya untuk menebus hutang. Pelanggan pertama yang melanggannya adalah Hariz, seorang usahawan muda yang berpengaruh.

Sehinggalah dia sanggup membeli Izzah dan dijadikan isterinya kerana simpati dengan Izzah.

Malang yang hinggap pada diri Izzah hanya sementara kerana akhirnya cinta Hariz padanya berjaya dikupas.

Osman bijak membuai dan membawa emosi penonton untuk turut sama merasai kesakitan dan keperitan yang dialami oleh Izzah di awal filem berkenaan.

Cuma dalam keringkasan yang dilakukan oleh Osman, dia sewajarnya memperlihatkan sisi Hariz yang lebih jahat.

Menerusi filem tersebut,sisi jahat Hariz tidak dikupas sepenuhnya.

Hariz versi Osman Ali masih lagi boleh dianggap baik dan diterima ramai. Cara dia melayan Izzah yang dikutipnya dari rumah pelacuran tidak terlalu kasar dipandangan mata umum. Sehinggalah dia jatuh cinta dengan keperibadian Izzah yang lembut.

Berbeza dengan novel, Hariz digambarkan sebagai seorang yang sangat kasar dan pemarah.

Namun saya puji lakonan Maya Karin dan Aaron Aziz sebagai tunjang utamanya.

Maya Karin seperti yang diketahui umum, seorang wanita moden telah berjaya diubah oleh Osman menjadi wanita kampung yang lemah lembut. Cuma gaya pertuturan Maya sedikit 'merencatkan' watak Izzah yang dibawanya.

Bagi Aaron Aziz, watak Hariz rasanya telah pun kerap kali dibawakannya. Cuma penghayatan kali ini sedikit lebih justeru itu, jelas dapat dilihat dia acapkali berlinangan air mata dalam filem tersebut.

Jalan cerita cinta Izzah dan Hariz disambung apabila mereka diuji sekali lagi dengan kemunculan watak Mila seorang artis popular yang berlagak diva, yang harus dijodohkan dengan Hariz oleh keluarga mereka.

Sekali lagi, emosi penonton dibuai dengan rasa simpati pada Izzah. Selain itu, kekejaman ibu Hariz, lakonan Azizah Mahzan cukup mengesankan dan menimbulkan kebencian penonton kepadanya.

Lakonan Maya Karin dan Aaron Aziz sebagai tunjang utama harus dipuji. Maya Karin seperti yang diketahui umum, seorang wanita moden yang berjaya diubah oleh Osman Ali menjadi wanita kampung yang lemah lembut serta sering berdepan dengan malang berjaya mencuit penonton.

Bagi Aaron Aziz, watak Hariz rasanya telah pun kerap kali dibawakannya. Cuma penghayatan kali ini sedikit lebih justeru itu, jelas dapat dilihat dia acapkali berlinangan air mata dalam filem tersebut.

Membawakan watak Mila, bagi penulis Lisa Surihani agak kurang menyengat. Lisa rasanya masih mampu memberikan watak diva yang lebih ekstrem yang boleh membuatkan penonton meluat melihatkan sikapnya.

Disajikan dengan sinematografi yang indah, cuma sedikit kecacatan dilihat dalam filem tersebut. Sebagai contoh babak di mana Hariz dan Izzah memadu cinta di tepi pantai terselit kelibat orang di belakangnya yang sedikit sebanyak merosakkan pemandangan.

Tetapi kekurangan tersebut masih boleh dimaafkan kerana Osman berjaya mengolahkan Ombak Rindu menjadi sebuah filem cinta yang baik dan sempurna. Malah tidak keterlaluan Ombak Rindu mampu membuatkan anda mengalirkan air mata tanpa disedari.

Komen Facebook
0 Berikan komen anda

Post a Comment

abam ming. Powered by Blogger.