Setiap yang hidup pasti akan mati. Cuma bila dan di mana malaikat Izrail akan mengambil nyawa kita masih menjadi rahsia yang tidak sesiapa pun ketahui kecuali ALLAH SWT. Namun, kita sering mendengar tentang sakaratulmaut dan husnul khatimah apabila kematian dibahaskan.
Apa yang dimaksudkan dengan kalimah tersebut?Jawapan: Sebelum berangkat ke alam barzakh untuk menuju akhirat yang kekal abadi, kita akan mengalami situasi yang disebut sakaratulmaut. Secara harfiah, kalimah ini bermaksud ‘mabuk menghadapi maut’ yang sangat dahsyat. Saat kematian ini berkait rapat dengan proses perpisahan roh dari jasad kita yang membawa kepada kematian. Syeikh Abdul Latif Musytahary (1996), menjelaskan bahawa kematian adalah bercerainya roh dari tubuh seseorang insan.
ALLAH SWT menerangkan lagi betapa ngerinya sakaratulmaut bagi mereka yang bergelumang dengan maksiat dan kezaliman dalam firman-NYA: “...alangkah dahsyatnya jika engkau melihat waktu orang zalim berada dalam tekanan sakaratulmaut, sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan (memukul dan menyeksa orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri), pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap ALLAH dengan tidak benar dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keterangan-NYA.” (Surah al-An’am : 93)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya nyawa orang mukmin itu keluar sebagai keringat manakala nyawa orang kafir pula dicabut seperti nyawa keldai. Orang mukmin yang melakukan dosa, lalu dibalas dengan dahsyat sewaktu kematiannya untuk menghapuskan dosa daripadanya. Orang kafir yang melakukan kebaikan akan dimudahkan baginya pada saat menghadapi maut untuk membalasnya.” (Riwayat Abu Na’im)
Jika orang itu Muslim yang soleh, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jenazah itu didatangi oleh malaikat. Sekiranya jenazah itu orang yang soleh, maka mereka berkata, “Silakan keluar, wahai nyawa yang baik dan harum yang berasal dari tubuh yang baik ini. Keluarlah dengan keceriaan dan kepujian, bergembiralah dengan khabar gembira, kenikmatan dan TUHAN yang tidak murka.”
Namun, berbeza pula bagi seseorang yang jahat. Sabda baginda yang bermaksud: “Apabila seseorang yang jahat ingin dicabut nyawanya, maka dikatakan: “Keluarlah wahai jiwa yang buruk berasal dari tubuh yang buruk pula. Keluarlah dengan kehinaan dan berilah peringatan dengan air yang mendidih serta nanah yang serupa dengannya.”
Sentiasa dikatakan sedemikian hingga keluar roh tersebut keluar. Dibukakan baginya pintu langit lalu dikatakan, “Siapakah ini?” Dikatakan inilah polan.” Lalu diucapkan, “Tidak diterima jiwa yang buruk berasal dari tubuh yang buruk. Kembalilah dengan kehinaan kerana pintu langit tidak akan dibuka bagi mu. Kemudian dihantar dari langit sampai ke dalam kubur.” (Riwayat Ahmad)
Oleh itu, Rasul junjungan mulia ketika berhadapan sakaratulmaut masih sempat berdoa yang bermaksud: “Ya ALLAH, tolonglah Aku daripada sakaratulmaut ini.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Adab ziarahi orang sakit
Amalan ziarah-menziarahi dianjurkan bukan pada masa sakit sahaja tetapi merangkumi semua keadaan tanpa mengira peringkat umur. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hak setiap Muslim kepada Muslim yang lain ada lima.
Pertama, menjawab salam. Kedua, mengunjungi orang sakit. Ketiga, menghantar jenazah. Keempat, memenuhi undangan dan kelima, membaca doa kepada mereka yang bersin.” (Riwayat Bukhari) Berdasarkan Muhammad Abdul Hamid (2004), beliau menerangkan antara adab ketika melawat orang sakit seperti berikut:
• Mereka yang sakit menjangkau tiga hari. Ini sejajar dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Adalah Nabi SAW tidak mengunjungi seseorang yang sakit melainkan ia telah berlalu tiga hari.” (Riwayat Ibnu Majah)
• Tidak duduk terlalu lama kecuali diminta oleh pesakit.
• Bersikap lemah lembut dan menunjukkan kasih sayang terhadap pesakit.
• Berdoa untuk kesembuhan, kesempurnaan dan kekuatan pesakit.
• Jangan makan atau minum di rumah pesakit kerana dibimbangkan akan membebankan keluarga terbabit.
• Sentiasa memberikan harapan baik kepada pesakit.
Adab kendalikan orang nazak
Syeikh Abdul Latif al-Musytahary (1996) menyarankan adab bagi mengendalikan seseorang yang sedang sakaratulmaut:
• Disunatkan menghadapkan pesakit ke arah kiblat dan ini merupakan amalan yang mulia agar pemergiannya juga dalam keadaan mulia.
• Disunatkan membaca dua kalimah syahadah kepada pesakit agar kekal dengan kalimah tersebut sehingga hembusan nafas terakhir. Amalan ini seiring dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mengakhiri kata-katanya dengan “La ilaha illallah” (Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH), maka ia akan masuk syurga.” (Riwayat Muslim)
• Disunatkan menghadirkan orang yang soleh agar dapat diharapkan keberkatan golongan tersebut di tempat seseorang yang menghadapi kematian. Amalan sedemikian dilakukan Rasulullah SAW ketika hayat baginda.
• Disunatkan membaca Surah Yasin di sisi pesakit yang berhadapan dengan sakatulmaut. Sebenarnya ini dapat meringankan tanggungan yang dihadapinya. Amalan yang sejajar dengan sabda Rasulullah SAW daripada Miqdad yang bermaksud: “Yasin adalah jantung al-Quran. Seseorang yang membacanya dengan mengharapkan rahmat ALLAH dan akhirat, maka akan diampuni dosanya. Oleh itu, bacakanlah ia kepada mayat kamu (mereka yang dalam keadaan sakaratulmaut.” (Riwayat Muslim)
Mendambakan husnul khatimah
Meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah atau kesudahan hidup yang baik menjadi impian setiap orang yang beriman. Rasulullah SAW memberi gambaran awal golongan yang mendapat husnul khatimah melalui sabda baginda yang bermaksud: “Perhatikanlah tiga perkara pada mayat ketika waktu kematiannya.
Keluar peluh di dahinya, berlinang air matanya, melebar kedua hidungnya, maka itu rahmat daripada ALLAH yang diturunkan kepadanya. Jika ia berdengkur seperti unta yang tercekik, pucat warnanya, berbuih mulutnya, maka itu adalah seksaan daripada ALLAH yang telah menimpanya.” (Riwayat at-Tirmizi dan Hakim)
Hasil ‘pelaburan’ amalan sepanjang hayat kita, ganjarannya akan diperoleh setelah meninggal dunia.
Rasulullah SAW di dalam sabda yang bermaksud: “Ada tujuh amalan yang terus memberi pahala bagi seseorang hamba di dalam kubur iaitu orang yang mengajar ilmu, orang yang mengalirkan sungai, orang yang menggali perigi, orang yang menanam pokok yang berbuah, orang yang membina masjid, orang yang mewariskan al-Quran atau orang yang mempunyai anak soleh yang selalu mendoakan ibu bapanya setelah kedua-duanya meninggal dunia.” (Riwayat al-Bazzar)