Widgets

Annuar Musa minta penyokong jaga disiplin, jaga maruah TRW

BEBERAPA kekecohan yang berlaku sejurus tamat perlawanan Kelantan bertemu Johor Darul Takzim malam kelmarin terkawal, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, pihaknya sememangnya menjangkakan sedikit unsur luar biasa berlaku kepada penyokong berikutan perlawanan tersebut dianggap berstatus lima bintang.

Katanya, sepanjang 90 minit berlawanan berlangsung, kedua-dua penyokong berada dalam keadaan selesa, namun mengakui terdapat sedikit kekecohan di babak akhir serta tamat perlawanan.

“Sebenarnya kita sudah melakukan pelbagai persiapan sebelum perlawanan termasuk berjumpa dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PNBJ) dan kelab penyokong mereka bagi meningkatkan langkah keselamatan.

"(Namun), kita sudah agak perlawanan ini agak stres, ia merupakan perlawanan bertaraf lima bintang, bagaimanapun Alhamdulillah, tidak ada kemalangan besar berlaku,” kata Annuar ketika diminta mengulas tindakannya membawa penyokong Johor Darul
Takzim ke tengah padang sejurus perlawanan tamat.

Bagi menenangkan keadaan, Annuar dilihat bermesra dengan penyokong Johor Darul Takzim selain sempat menerangkan situasi berlaku di Stadium Sultan Muhammed IV.

Mengulas mengenai insiden mercun sejurus Kelantan menjaringkan gol, Annuar meminta penyokong tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan pasukan secara keseluruhan selain menjaga keselamatan diri sendiri.

“Dah lama perkara ini tidak berlaku, ia bahaya kalau meletup di tengah orang ramai, kita mahu mereka yang menyaksikan perlawanan dengan rasa aman, apa lagi bola sepak kita semakin maju. Saya meminta penyokong supaya mempertingkatkan
disiplin dan beri kerjasama sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar dipetik di Facebooknya menafikan tindakan beliau membawa penyokong Johor Darul Takzim di tengah padang disebabkan serangan penyokong Kelantan, sebaliknya ia dirancang dari awal.

“(Serangan) itu tidak benar, saya sendiri yang pergi ambil penyokong Johor dan minta mereka ke tengah padang sebagai langkah keselamatan, semua berjalan seperti saya dan Setiausaha PBNJ atur, jadi jangan tokok tambah, kita sudah berikan kawalan
dan layanan maksimum dalam keadaan kita serba kekurangan," katanya.

Annuar berkata, bagi perlawanan seterusnya, Kafa akan terus meningkatkan langkah keselamatan mengikut prosedur yang sebelum ini sudah menjadi keutamaan pihaknya.
Komen Facebook
0 Berikan komen anda
abam ming. Powered by Blogger.