Widgets

Doa tahun baru masihi 2013

Tahun baru, manusia baru, generasi baru. Harap tahun baru 2013 kali ini dapat menjadi titik permulaan untuk mencipta manusia baru Malaysia iaitu rakyat yang sihat wal afiat, zahir dan batin.

Kita harus mengaku bahawa rakyat kita pada hari ini banyak yang sakit, bukan hanya sakit badan seperti penyakit yang dihidapi akibat dari obesiti, penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, jantung dan lebih kronik lagi kenser, tetapi banyak juga yang mengalami sakit jiwa, mental dan emosi yang keterlaluan dan parah.

Penyakit mental dan jiwa yang serius biasanya boleh membawa kepada ketidakstabilan pemikiran dan emosi seseorang itu, bukan sekadar hal itu sahaja, tetapi seringkali juga membawa kepada penyakit kerohanian, emosi, perasaan, tingkah laku, tutur kata, dan tindakan manusia itu keseluruhannya.

Dalam al-Quran ALLAH menyifatkan bahawa orang-orang musyrikin, iaitu orang-orang yang terang-terang menolak kebenaran dan ajaran ketuhanan yang Esa sebagai orang-orang yang "berpenyakit di dalam hatinya."

Semakin lama mereka berkelakuan begitu, menentang para Rasul dan Nabi, terutamanya Nabi terakhir, Muhammad SA, maka ALLAH menambah penyakit mereka itu, lalu mereka bertindak di luar perikemanusiaan, menyakiti orang lain, malah terdapat di antara mereka yang bertindak menyakiti dan membunuh para Nabi dan Rasul yang mereka menentangnya.

Hari ini kita melihat orang membunuh orang lain sesama mereka dengan sewenang-sewenangnya, termasuk membunuh anak, ibu bapa, nenek moyang, kaum kerabat, kawan dan sesiapa saja, yang tidak pernah kita menyaksikannya dalam masyrakat kita pada zaman lampau.

Orang merompak, mencuri, meragut dan melakukan serba macam kelakuan untuk mendapatkan harta benda kepunyaan orang lain secara mudah, malah lebih besar lagi hal ini berlaku di kalangan manusia yang berpengaruh dan mempunyai kedudukan tinggi iaitu rasuah, menyalah guna kuasa, menggunakan kedudukan dan sebagainya untuk menjadi penyangak yang terlalu bersifat materialistik, gila benda dan wang. Tetapi dalam cara yang amat bijak dan halus sekali.

Kerana penyakit jiwa ini juga orang menjadi liar, tidak bersopan, rosak akhlak, mengamalkan gejala maki hamun, dendam kesumat, biadab dan tidak berakhlak sesama sendiri, dan sesama saudara seagama dan senegara, rasa rasis dan taksub politik yang melampau, tidak ihsan dan tidak merasa malu kepada manusia, apa lagi kepada allah.

Orang yang berpenyakit jiwa akan bertindak di luar kawalan akal dan ajaran agama yang sihat, secara membuta tuli akan menurut emosi dan perasaan, melanggar undang-undang termasuk undang-undang lalu lintas, membawa kereta seperti orang yang tidak siuman, tergopoh gapan dan memandu laju tanpa berfikiran, mengakibatkan kemalangan, memakan korban yang banyak di atas jalan raya, mati dan luka parah.

Hal yang digambarkan di atas hanya merupakan sebahagian contoh yang kecil tentang akibat yang dialami oleh anggota masyarakat dalam kelompok masyarakat yang sakit jiwa dan mental, sakit rohani dan emosi, sakit otak dan fikiran, yang tidak memilih orang pandai atau jahil, kaya atau miskin, beragama atau tidak, semuanya terdedah kepada penyakit zaman moden, alaf ke tiga, dunia abad ke-21 ini iaitu penyakita jiwa dan mental yang diilhamkan oleh syaitan serta hawa nafsu, penyakita abad 20 ketika dunia menjadi gelanggang persaingan hidupyang terpisah dari nilai-nilai suci, budaya sihat dan ajaran agama.

Hampir seluruh dunia pada hari ini mengalami penyakit mental dan penyakit jiwa ini, sehingga dunia dipenuhi oleh keganasan, kekejaman, penindasan berdasarkan negara dan anutan agama serta rupa bangsa, berdasarkan barat melawan timur, negara maju menindas negara miskin, dasar globalisasi yang menyeleweng dan sebagainya.

Malah dalam dunia Islam sendiri kekerasan dan keganasan yang membawa kepada pembunuhan sesama sendiri sering juga berlaku kerana perebutan kuasa politik, perbezaan suku kaum, kelainan mazhab dalam agama sendiri, dan peselisihan pandangan lain, yang sepatutnya dapat diselesaikan secara beradab dan bertamadun, tetapi orang lebih suka menyelesaikan konflik mereka secara  keganasan dan pertumpahan darah, bukan melalui meja perundingan dan dialog ilmu.

Hal ini mulai berjangkit menjadi wabak dalam masyarakat Islam kita sendiri iaitu perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini kerana perebutan kuasa politik  melampau yang mengakibatkan kerosakan moral dan adab, memecah belahkan masyarakat islam, melemahkan kesatuan ummah, yang sekali gus memberikan peluang kepada orang lain yang mahu melihat perpecahan orang islam.

Oleh itu, kalau kita boleh berdoa, dan berharap, malah bertindak dan berusaha, maka tahun 2013 ini mintalah menjadi tahun permulaan untuk kesihatan jiwa dan mental manusia, termasuk manusia warga negara kita ini, agar penyakit mental, penyakit jiwa, penyakit rohani dan emosi yang telah banyak menjalar di dalam masyarakat kita ini akan berkurangan supaya kita akan dapat menikmati rasa aman, sejahtera dan bahagia di dalam masyarakat kita ini...

Permulaan membangunkan masyarakat yang sihat dari penyakit jiwa dan rohani ini bukanlah sebenarnya untuk kita generasi ini, tetapi untuk kebahagiaan anak cucu, generasi dan ummah kita yang akan datang, kerana merekalah yang akan mewarisi negara dan dunia ini seluruhnya.

Selamat menyambut tahun baru, 2013, selamat menempa umat baru, rakyat malaysia yang sihat sejahtera, aman bahagia... Inilah saja harapan dan doa yang dapat kita lakukan buat hari pertama tahun baru masihi 2013 ini.



Komen Facebook
0 Berikan komen anda

Post a Comment

abam ming. Powered by Blogger.