Widgets

Kastam Terengganu Rampas Rokok Seludup Bernilai RM1 Juta


KASTAM Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu berjaya merampas rokok seludup yang dianggarkan mempunyai nilai cukai sebanyak RM976,750.40 dalam satu serbuan di sebuah premis stor di Kampung Tasek, Bukit Payung, Marang, 17 Januari lalu.


Pengarah Kastam Negeri, Abdullah Zawawi Abdul Latiff berkata, dalam serbuan yang dilakukan lebih kurang jam 12 tengah hari itu juga, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 43 tahun dipercayai pemilik rokok berkenaan.

“Semasa serbuan dilakukan, dua lelaki itu yang berasal dari Bukit Payong, Marang, itu berada di dalam stor dipercayai menjalankan kerja-kerja pengiraan stok.

“Kedua-dua mereka yang dipercayai menggunakan taktik menjual rokok kecil-kecilan bagi mengaburi mata penguat kuasa ditahan dan direman selama enam hari untuk disiasat,” katanya.

Abdullah Zawawi berkata, sejumlah 15,180 karton rokok kretek dan putih pelbagai jenis yang disyaki belum lulus kastam yang dianggarkan bernilai RM179,560 dengan jumlah cukai terlibat sebanyak RM976,750 serta sebuah lori yang disyaki digunakan untuk membawa rokok disita.

“Ini merupakan kes tangkapan terbesar yang berjaya dicapai oleh jabatan ini bagi awal tahun 2013 dan dalam tempoh dua tahun saya berkhidmat di jabatan ini.

“Kejayaan ini juga adalah hasil daripada kerjasama orang awam yang telah menyalurkan maklumat kepada jabatan daripada masa ke masa,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat membendung kegiatan penyeludupan dan pelarian cukai amat dialu-alukan.

“Kami memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes akan diberi sagu hati,” katanya.

Sebarang maklumat bolehlah disalurkan secara terus kepada JKDM Terengganu di talian 09-6204073 atau 09-6204274. – SINAR HARIAN
Komen Facebook
0 Berikan komen anda
abam ming. Powered by Blogger.