Widgets

Kisah Suka Duka Maha Raja Lawak Mega 2012 | Jozan | Jambu | Shiro

BERGELAR juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2012 melayakkan Jozan membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai berjumlah RM500,000 dan trofi .

Berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Jumaat lalu, Jozan berjaya menewaskan kumpulan Jambu (naib juara), Shiro (tempat ketiga), Boboi (tempat keempat) dan Saywho (tempat kelima).

Mengimbas sejenak pembabitan Jozan sepanjang musim kedua ini, kumpulan yang dianggotai Yazid Lim Mohamad Aziz (Johan) dan Mohd Razizan Abd Razak (Zizan) ini sememangnya memikat hati penonton dan juri sedari awal lagi.

Berada di kedudukan pertama sepanjang minggu membuktikan mereka mempunyai kehebatan dan keistimewaan sendiri.

Ini dilihat kepada setiap lawak yang dipersembahkan mereka setiap minggu mendapat tepukan gemuruh dan respons baik daripada penonton.

Pun begitu, perjuangan mereka yang diangkat sebagai juara tetap menjadi buah mulut segelintir pihak.

Ini berikutan apabila ada pesaing mereka yang dilihat lebih layak bergelar juara kalah di tangan mereka dan Jozan dianggap menang kerana populariti semata.

Pun begitu, ketika ditanya mengenai perkara ini dalam sidang media selepas MLM 2012 tamat, Jozan memberitahu, mereka menganggap semua itu sebagai rezeki.

"Kami akui Jozan telah dikenali dan mempunyai pengikut tersendiri. Tetapi, setiap lawak kami juga dinilai oleh juri dan bukan menerusi undian SMS sahaja.

"Apa pun, kami tidak mahu perkara ini berpanjangan dan berharap semua menerima keputusan dengan baik," kata mereka yang mahu membuat majlis kesyukuran bersama keluarga dan peminat menggunakan wang kemenangan itu.

Pengorbanan Johan

Berkongsi perasaan Zizan yang terpaksa membuat persembahan selama dua minggu tanpa Johan di sisi gara-gara masalah kesihatan, Zizan mengakui dia terharu dengan pengorbanan sahabatnya itu.

Katanya, selama ketiadaan Johan, dia perlu membuktikan kepada semua bahawa dia boleh melakukan yang terbaik demi Jozan dan juga Johan.

"Dua minggu tanpanya banyak untuk final MLM walau pun saya menegahnya, bagi dia, susah dan senang Jozan, mereka perlu bersama.

"Lagi pun, Jozan tanpa Johan mahu pun saya, adalah tidak lengkap," beritahu Zizan mereka terpaksa melakukan persiapan secara sederhana sahaja.

Sementara Johan berkata, meski pun sakit, dia perlu membantu Zizan di saat akhir pertandingan itu.

"Saya berterima kasih kepada Zizan kerana mampu mengajar saya menjadi lebih baik, apa pun, saya bersyukur kerana Johan sanggup turun padang hari ini," katanya.

Ditanya bila dia tahu Johan turut serta di pertandingan akhir, ujar Zizan, sebenarnya Johan sudah memaklumkan kepadanya dua minggu lebih awal.

"Dia tetap nak buat persembahan memperjuangkan kedudukan Zizan di tangga pertama ketika saya tiada.

"Jujur saya katakan, saya sebak apabila melihat dia bersendirian di atas pentas," katanya.

Persembahan unggul Jozan

Pasti pengikut setia MLM 2012 masih dapat membayangkan aksi Jozan di pentas akhir MLM Jumaat lalu.

Menampilkan persembahan yang cukup bertenaga bagi tema pertama iaitu bebas, Jozan membuat kejutan apabila Johan muncul secara tiba-tiba.

Bayangkan ketika itu, stadium tertutup MBJB gamat sewaktu Johan melangkah masuk tanda memberi semangat kepadanya.

Menampilkan persembahan dalam sebuah rancangan 'talkshow', Jozan ternyata bijak memainkan peranan masing-masing.

Johan menjadi Awie manakala Zizan pula Ustaz Azhar Idrus.

Untuk persembahan kedua mereka bagi tema komedi muzikal, meski pun kurang menyengat, namun ia masih tidak menghampakan.

Aksi Johan sebagai DJ radio yang memparodikan lagu-lagu popular tanah air ke Bahasa India dan Cina membuatkan penonton tidak kering gusi.

Zizan pula bertindak sebagai orang awam yang memandu sambil menelefon Johan yang ke udara. Menyentuh persembahan mereka, ia tetap menghiburkan walaupun penonton dan peminat pastinya mengharapkan persembahan lebih hebat dari mereka.

Jambu sudah menang!

Bergelar naib juara bagi kumpulan Jambu sudah cukup hebat dan memuaskan hati mereka.

Menurut kumpulan yang dianggotai Zamatul Amri Zakaria (Taukeh) dan Yussry Edoo (Yus) ini, berjaya melangkah ke final MLM sebenarnya sudah bererti kemenangan kepada mereka.

"Bukan mudah layakkan diri ke peringkat akhir kerana peserta hebat-hebat belaka.

"Meski pun tidak dinobatkan juara, tetapi bagi kami sudah menang," katanya.

Ditanya adakah mereka sudah menjangkakan kemenangan Jozan, beritahu Tauke mewakili Jambu, sedari awal mereka yakin gelaran juara akan berpihak kepada kumpulan itu.

"Dari minggu pertama hingga akhir, Jozan sudah menunjukkan aura mereka yang tersendiri. Walau pun kami beraksi sebaik mungkin, namun sukar menewaskan mereka," katanya.

Bangga di tempat ketiga

Sementara bagi Shiro berkata, mereka sudah cukup bertuah kerana dipilih untuk memenangi tempat ketiga.

"Kami masih baru dalam bidang ini, pengalaman kami tidak setanding pelawak lain yang sememangnya cukup gah dan dikenali.

"Jadi, kami bangga kerana berada di tahap ini," kata kumpulan yang dianggotai Shahrol Azizie Azmi (Shahrol) dan Mohamad Hanaffi Razak (Ajak).

Kemenangan itu turut melayakkan Shiro membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 berserta trofi MLM.

Hadiah kemenangan disampaikan Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro Nizam Sani, Pengurus Saluran Astro Warna Bob Azrai dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anuar Salleh.

Barisan juri tetap pula masih diwakilli Awie, Wulan Guritno, Lisa Surihani dan Najip Ali.

Komen Facebook
0 Berikan komen anda
abam ming. Powered by Blogger.