Permainan ini dikenali juga sebagai sepak bulu ayam, sebuyam
atau chapteh. Dimainkan di luar rumah oleh kanak-kanak lelaki seramai dua atau
lebih. Jika terdapat ramai yang bermain, kumpulan dengan terdiri beberapa orang
boleh dibentuk.
Permainan ini adalah seperti permainan sepak raga, tetapi
bola yang digunakan adalah dari bulu ayam yang telah dibentuk seperti sejambak
bunga.
Pemain disyaratkan menimbang bola bulu ayam tersebut dengan
menggunakan tepi tumit kaki (tepi kaki sebelah dalam) sahaja atau juga dengan
lutut. Sepakan tidak dibenarkan, jika dilakukan oleh pemain, ia dikira mati dan
giliran pemain seterusnya mengambil alih pula. Permainan juga dikira mati
sekiranya bola jatuh ketanah.
Mata dikira dengan cara, pemain mestilah menimbang bola
tanpa henti atau mati dengan seberapa banyak timbangan yang dapat dilakukan.
Pemain yang mendapat mata terendah jumlah timbangan dikira kalah, dan ia akan
dikenakan denda. Pemain yang kalah dikehendaki melambungkan bola kepada
pemenang, dan pemenang pula mestilah menimbang bola sebanyak tiga kali,
sekiranya pemenang gagal berbuat demikian maka denda terhadap pemain yang kalah
akan dikira tamat.
Pusingan seterusnya boleh dilakukan beberapa kali, pemain
yang memenangi disetiap pusingan atau jumlah kemenangan banyak kali dan
melebihi dari yang lainnya dikira juara.