Widgets

Shisha Haram | Hormati keputusan Majlis Fatwa |

Masyarakat terutamanya peniaga dan pengguna shisha di negeri ini dinasihatkan untuk menghormati keputusan pengharaman bahan tersebut di pasaran yang diumumkan Jawatankuasa Fatwa, kelmarin. 
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, setiap perkara yang diharamkan atau difatwakan itu mempunyai sebab tersendiri terutamanya dalam isu tersebut yang mana boleh memudaratkan rakyat negara ini.

“Jangan kita lalai dengan perkara seperti itu, cuba elak daripada mengembangkan sesuatu yang boleh menimbulkan keburukan kepada kita sesama Islam mahupun masyarakat bukan Islam.

“Sekarang kita tahu, kesan shisha melebihi rokok, maka ia patut diharamkan dan langkah pencegahan perlu ada bagi memastikan rakyat kita selamat dan bebas dari sebarang keburukan,” katanya kepada Sinar Harian
semalam.

Beliau mengulas Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang memutuskan bahawa shisha adalah haram dan diumumkan pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin kelmarin.

Shukri berkata, dalam masa yang sama juga masyarakat harus tahu bagaimana cara untuk mengatasi dan menghindari dari sesuatu yang tidak mendatangkan kebaikan dalam diri kita sendiri.

Sementara itu kerajaan negeri turut berharap keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia tentang pengharaman shisha disambut baik rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Fattah Mahmood berkata, langkah tersebut bagi memastikan rakyat faham tentang kesan penggunaannya yang boleh memudaratkan.

“Saya harap rakyat akan ambil perkara ini dari sudut positif, keputusan yang dibuat adalah untuk kebaikan pengguna iaitu yang mana ada sesuatu perkara atau kelakuan yang mungkin boleh datangkan kemudaratan kepada pemikiran, kesihatan dan sebagainya kita perlu cegah.

“Dalam masa yang sama juga kita perlu mencari satu perkara baru yang boleh menjana kebaikan dalam diri kita dan masyarakat, laksanakan bersama-sama, jika ia boleh mendatangkan keburukan, kita mesti hindari,” katanya.

Kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam sebelum ini telah mengambil langkah awal tidak mengeluarkan lesen perniagaan shisha di negeri ini sehingga keputusan Majlis Fatwa dibuat kelmarin.
Komen Facebook
0 Berikan komen anda
abam ming. Powered by Blogger.