Syarat jadi guru: Perlu aktif ko-kurikulum |
- on
2:29:00 PM
Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum perlu diberi penekanan kepada mereka yang ingin menceburi profesion perguruan bagi meningkatkan taraf profesion itu yang semakin mencabar selain syarat baru kelulusan akademik bermula tahun ini.Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata sehubungan itu, Kementerian Pendidikan perlu memberi perhatian kepada kegiatan kokurikulum selain kecemerlangan akademik.
"Kita tidak mahu melihat dari segi intelek sahaja, kokurikulum juga satu aspek yang perlu diberi penekanan, guru-guru ini juga sekiranya mereka ditempatkan opsyen Matematik, maka Matematiknya juga mesti A di dalam SPM," katanya kepada Bernama di sini.
Pada Isnin lepas, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata langkah itu bagi memartabatkan profesion perguruan di negara ini dan sejajar dengan hasrat kementerian mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai kerjaya itu.
Bagaimanapun, kelonggaran minimum 5A diberikan kepada mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.
Ketika ini, syarat asas ialah mendapat cemerlang sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta lulus Bahasa Inggeris selain kelayakan khusus bagi bidang pengajian yang dipohon.
Mohamed Sabri berkata kementerian juga perlu menawarkan gaji yang lebih tinggi dan kemudahan lain seperti perumahan kepada guru yang berkelulusan cemerlang.
"Kalau nak ambil guru yang berkelulusan baik, kebajikan mereka juga perlu dijaga, sekolah ini sampai kawasan pedalaman pun ada, pulau pun ada, ia tidak sama dengan doktor, sebab itu ada elaun pedalaman, mungkin elaun tambahan yang lain perlu diadakan juga," katanya.
Beliau juga mencadangkan agar para pelajar yang mendapat 7A atau 5A diberi surat tawaran sama ada bersetuju atau tidak untuk menjadi guru tanpa perlu memohon.
"Saya cadangkan kepada kementerian, mereka ini tidak perlu memohon, kementerian jelaskan sama ada mereka ingin menjadi guru atau tidak dan ceritakan manfaat yang bakal dinikmati, kalau mereka setuju boleh ditemu duga, swasta banyak yang buat macam ini," katanya.
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata langkah itu sangat dialu-alukan kerana di negara maju, guru yang diperlukan adalah dari kalangan yang terbaik dari segi kelulusan, kelayakan akademik, keperibadian dan tingkah laku.
"Ini kerana mereka nak mengajar, sudah tentu harus mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak, syarat minimum 5A bagi Sabah dan Sarawak pula adalah tepat kerana kita perlukan ramai guru yang datang dari sana," katanya.
Bekas ketua pengarah pelajaran itu berkata sudah sampai masanya untuk meningkatkan kelayakan kepada lepasan SPM yang ingin menjadi guru kerana ia sekaligus dapat meningkatkan taraf pendidikan di negara ini.
0
Berikan komen anda
abam ming. Powered by Blogger.