Widgets

Bagaimana urus gaji bulanan dengan betul ?

NAMANYA dipanggil dan Adam cepat-cepat naik ke pentas untuk menerima skrolnya.

Ini adalah detik amat membanggakan bagi Adam dan keluarganya. Dia berjaya mendapat ijazah dengan kepujian dan juga tawaran pekerjaan tetap.

Kemudian, dalam jamuan sambutan yang diadakan, Adam memberanikan diri meminta wanita yang diminatinya, Aida, bergambar bersamanya dan bertukar nombor telefon.

Mereka berjanji untuk berhubung dari semasa ke semasa.

Adam memulakan kerjayanya di satu daripada lima firma perakaunan terbesar dan dia sangat sibuk dengan kerjanya.

Dia dibayar gaji permulaan RM2,500 sebulan dan dengan bekerja lebih masa serta tuntutan lain, dia mendapat gaji purata RM3,000 sebulan.

Kini, dia ada lebih banyak pendapatan yang boleh digunakan tetapi dia masih mempunyai komitmen lain yang perlu difikirkan.

Dia kemudian menyemak semula belanjawannya.

Adam meletakkan “Tabungan” sebagai item pertama di lajur “Perbelanjaan”.

Ini selaras dengan prinsip kita haruslah membayar kepada diri sendiri dahulu.

Adam meneruskan pelaburan amanah sahamnya, malah menambah tabungan kepada 10 peratus daripada gajinya.

Dia ada membaca beberapa buku perancangan kewangan yang menyatakan seseorang haruslah menabung sekurangkurangnya 10 peratus atau lebih daripada pendapatan mereka.

Malah, ada sesetengah perancang kewangan menyarankan kita menabung separuh daripada pendapatan.

Ini termasuk caruman wajib KWSP daripada majikan dan pekerja yang berjumlah 23 peratus untuk kebanyakan pekerja, bermakna kita perlu menabung jumlah selebihnya 27 peratus daripada pendapatan kasar kita!.

Ini pastinya permintaan agak mustahil bagi ramai orang, khususnya mereka yang mempunyai anak, tetapi pengorbanan sedemikian dapat menjamin masa persaraan yang selesa.

Perkara kedua pada senarai Adam adalah pembayaran semula pinjaman PTPTN.

Dia perlu membayar kira-kira RM150 sepanjang 180 bulan, pada kos pentadbiran satu peratus setahun.

Sebagai rakyat bertanggungjawab, sebaik menerima cek gaji pertamanya, Adam mula membayar balik pinjamannya tanpa menunggu surat tuntutan.

Dia fikir sekiranya dia melambatkan ataupun lebih teruk lagi, tidak mengendahkan pembayarannya, dia sedang merampas peluang pelajar lain yang sangat memerlukan dana itu malah menghadapi risiko disenaraihitamkan daripada memohon pinjaman di masa depan.

Disebabkan Adam tinggal bersama ibu bapanya, dia tidak perlu belanja sewa.

Jadi, dia memberi ibu bapanya RM250 setiap orang untuk menampung belanja makanan dan penginapannya.

Tindakan itu menguntungkan kedua-dua pihak kerana sambil membuat jasa kepada ibu bapanya, Adam dapat berjimat!

Adam memperuntuk RM500 untuk belanja makan di luar rumah, khususnya bagi makan tengah hari dan makan malam jika dia perlu kerja lewat.

Dia menganggarkan kos makanan ialah RM20 sehari bagi 25 hari kerja dalam sebulan.

Dia juga ketepikan RM500 untuk belanja pakaian dan hiburan kerana pastinya dia lebih sering keluar makan-makan atau keluar bersama rakan sekerjanya dan RM100 boleh dihabiskan sekali gus!

Adam juga ada niat membeli kereta tetapi ingin menabung lebih banyak wang agar dapat mengeluarkan bayaran pendahuluan lebih besar.

Buat masa ini, dia menggunakan pengangkutan awam atau menumpang rakan sekerja.

Seperti dahulu, dia mendapatkan Kad Perjalanan Bulanan, iaitu pas perjalanan bersepadu untuk bas awam dan LRT pada harga RM135 sebulan.

Dia membundarkan jumlah ini kepada RM200 untuk meliputi tambang teksi.

Dia juga ketepikan RM100 bagi bil telefon bimbit.

Selepas mengambil kira semua perbelanjaan yang dapat diramalkan, Adam gembira apabila mendapati dia masih mempunyai baki RM300 setiap bulan.

Semasa memikirkan cara untuk membelanjakan wang secara produktif, dia terbaca satu artikel dalam majalah kewangan peribadi yang menekankan keperluan setiap dewasa yang bekerja memiliki polisi insurans.

Jadi, dengan kira-kira RM250 sebulan, Adam membeli insurans bagi dirinya dan juga insurans perubatan disertakan kad perubatan.

Kad perubatan akan merangkumi kos rawatan hospital dan pembedahan sekiranya dia dimasukkan ke hospital. Walaupun mendapat perlindungan insurans daripada syarikatnya, Adam merasakan perlu mendapatkan perlindungan insurans sendiri sebagai sandaran keselamatan.

Dengan peruntukan ini, dia boleh menggunakan hampir keseluruhan pendapatannya secara produktif.

Semasa menjalankan tugasan auditnya, Adam terserempak dengan kenalan lamanya.

Tak lain tak bukan rakan universitinya - Aida! “Wah, alangkah kecilnya dunia ini, pertemuan indah yang tak disangka!” katanya kepada diri sendiri.

Aida adalah eksekutif kewangan di bank tempat Adam sedang menjalankan audit.

Mereka sudah lama tidak berjumpa atau hubungi satu sama lain sejak menamatkan pengajian di universiti dan kenangan manis terlintas di fikiran.

Adam menyemak nombor telefon yang disimpannya sejak kali terakhir mereka bertemu dan mendapati nombor Aida masih sama.

Aida meminta Adam membuat missed call kepada telefon bimbit barunya dan alangkah terkejutnya Adam melihat gambar mereka berdua semasa penyampaian ijazah dahulu terpapar di telefon Aida. Aida terasa malu dan tidak dapat ucapkan apa-apa.

Adam memberi senyuman manis dan berharap cinta ini akan terus mekar...(nantikan sambungannya minggu depan).
Komen Facebook
0 Berikan komen anda
abam ming. Powered by Blogger.