Widgets

Panduan beli kenderaan idaman

INDUSTRI automotif adalah perniagaan mencabar dengan banyak model terbaharu dilancarkan setiap bulan oleh pengeluar kenderaan dunia.

Situasi berkenaan mungkin memberi kebaikan berikutan pelbagai model berada di pasaran. Tetapi ia juga boleh memberi persepsi negatif kepada pembeli terutama apabila kenderaan baharu itu tidak memberi lebih nilai kepada wang.

Kenderaan apakah dimahukan pembeli?

Pertama, perlu lihat apa tujuan utama anda membeli kenderaan? Sama ada untuk perjalanan sekitar bandar raya atau kerap menggunakannya untuk perjalanan jauh berkaitan kerjaya atau menjadikannya kenderaan lebih selesa untuk seisi keluarga.

Kini terdapat pelbagai model terdiri daripada sedan, sedan sport, kompak, hatchback, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan sport utiliti (SUV) atau trak pikap.

Mampukah memilikinya - Kemampuan adalah faktor utama diambil kira ketika mahu membeli kenderaan. Biasanya kemampuan akan melebihi tarikan kereta diminati.

Pertimbangkan bayaran bulanan, kos penyelenggaraan, insurans, cukai jalan, kos bahan api mahupun nilai jualan balik terlibat.

Kebanyakan rakyat negara ini membelanjakan 30 peratus daripada gajinya untuk membayar ansuran bulanan kenderaan.

Penyelesaiannya mudah, bakal pembeli perlu menyenaraikan harga kenderaan sesuai dengan kemampuan mereka.

Jenama - Jenama memainkan peranan penting ketika pembeli mahu membeli kereta.

Teknologi - Kebanyakan pengeluar kereta sentiasa memperkenalkan beberapa teknologi baharu dalam masa beberapa tahun dalam produknya seperti reka bentuk, prestasi dan ciri keselamatan.

Perkara mengenai kenderaan perlu diketahui

Kuasa – Digambarkan dengan liter (L) atau sesaran (cc). Ia adalah kuasa enjin di mana lebih besar enjinnya, lebih kuasa pecutannya.

Tork (Nm) – Tork adalah kuasa diperlukan untuk menggerakkan kereta kepada kelajuan dikehendaki. Semakin tinggi kuasa tork, semakin cepat kenderaan bergerak.

RPM (revolutions per minute, or revs) – RPM merujuk kepada kelajuan enjin atau berapa kuat daya kuasa enjin diperlukan untuk meningkatkan tork.

Kenderaan terbaik adalah kenderaan menawarkan RPM rendah, tetapi daya tork tinggi.

Kuasa kuda (hp) – Kuasa maksimum yang dihasilkan enjin. Semakin tinggi kuasa kuda, semakin tinggi prestasinya.

Soal keselamatan

Keselamatan - Kenderaan terkini memerlukan sekurang-kurangnya beg udara dan sistem brek anti kekunci (ABS). Kenderaan dilengkapi teknologi seperti bantuan kestabilan kenderaan (VSA) atau ‘traction control’ dan beg udara sisi adalah satu bonus.

VSA adalah satu sistem di mana ia membantu mengawal gelinciran roda akibat jalan licin atau tumpahan minyak di jalan raya.

Kerangka kukuh seperti teknologi G-Con yang terbukti dalam ujian pelanggaran berupaya menyerap impak rempuhan daripada menerjah masuk ke dalam ruang kabin. Teknologi ini berjaya mengurangkan risiko kecederaan serius kepada pemandu dan penumpang.

Melawat ruang pameran - Melawat ke beberapa pusat pameran kereta membolehkan pembeli menilai sendiri kenderaan diminati. Antaranya bagi melihat ruang kepala dan kaki, kesesuaian stereng, kerusi pemandu, pemanduan, keluasan ruang penyimpanan dan keistimewaan lain.

Ruang duduk dan simpanan barang menjadi faktor utama termasuk kerusi belakang boleh dibaringkan memberi kelebihan kepada penumpang.

Penggunaan bahan api - keadaan ekonomi semasa tidak menentu menjadikan tahap penggunaan bahan api sangat penting ketika memilih kenderaan.

Kombinasi antara penggunaan gear, teknologi enjin dan faktor aerodinamik banyak membantu tahap penggunaan bahan api bagi kenderaan.

Kehadiran beberapa teknologi terkini seperti i-VTEC menawarkan prestasi mengagumkan dengan kuasa tork lebih tinggi, tetapi julat RPM rendah.

Mesra Alam - Gas ekzos adalah penyumbang terbesar pemanasan global. Teknologi hibrid berjaya mengurangkan tahap pencemaran disebabkan pembakaran bahan api.

Teknologi hibrid biasanya menggunakan dua atau lebih kuasa alternatif bagi menggerakkan kenderaan sama ada kombinasi (petrol atau diesel) dan elektrik.

Kereta hibrid menggunakan elektrik menawarkan kuasa tambahan kepada enjin. Sebagai contoh, kenderaan hibrid berkuasa 1.3L mempunyai kuasa seperti kenderaan berkuasa 1.8L.

Nilai jualan balik - Kebanyakan pembeli bimbang mengenai nilai jualan balik kecuali mereka yang mahu menggunakan kenderaan terbabit sepanjang hayat.

Faktor seperti jenama, populariti, permintaan dan perkhidmatan selepas jualan mampu mengekalkan harga jualan balik lebih tinggi dan mampu mengurangkan kerugian pembeli.

Pandu uji - Perkara terbaik adalah dengan memandu uji kenderaan dikehendaki sebelum membeli. Faktor seperti kepuasan pemanduan, kawalan, keselesaan dan kualiti menjadi petunjuk model sesuai.

Kebanyakan model menawarkan keluasan dan harga hampir sama, tetapi ia hanya boleh dipastikan keselesaannya selepas pandu uji.

Sumber: http://mohdzuhairee.wordpress.com/
Komen Facebook
0 Berikan komen anda
abam ming. Powered by Blogger.