Widgets

Suzuki Swift Sport

SUZUKI Swift merupakan antara hatchback yang popular dalam kalangan pengguna kenderaan di Malaysia. Tambahan dalam senarai pilihan, Swift Sport diperkenalkan khas buat peminat supermini ini yang mahukan prestasi.  


Swift Sport baru sahaja diperkenalkan oleh Suzuki Automobile Malaysia (SMA) pada pertengahan tahun lalu di Litar Antarabangsa Sepang.

Model hatchback panas ini dibina dengan beberapa tambahan perincian prestasi untuk menyediakan kecekapan pengendalian dan kuasa. Penambahbaikan yang diberi dilihat sebagai antara usaha Suzuki untuk kekal bersaing dalam pasaran segmen super mini.

Sebelum memberi komentar pandu uji jentera pacuan roda hadapan ini dengan lebih terperinci, saya akan menyentuh sedikit perihal reka bentuk Swift Sport baharu.

Sejujurnya, reka bentuk Swift lebih cenderung ke arah feminisme.

Saya tidak menafikan reka bentuknya menarik, akan tetapi ia tidak memberi impak secukupnya untuk menggambarkan ciri prestasi seperti mana dua puluh tahun yang lalu.

Lampu utama bi-xenon berlatarkan warna gelap serlahkan karakter sporty jentera kecil Suzuki ini. Rim 16 inci yang dibekalkan secara standard sesuai dengan gaya dan bentuk badan Swift Sport.

Semasa melangkah masuk ke dalam, saya dapati kerusi semi-bucket tersedia untuk diduduki. Ruang kabin selesa dan luas untuk penumpang hadapan.

Ruangan penumpang belakang sedikit kecil tetapi masih selesa untuk memuatkan dua orang penumpang. Secara keseluruhan, tahap keluasan Swift adalah sederhana kerana saya mempertimbangkan saiz but belakang yang mungkin terlalu kecil.

Jentera ini telah menerima penambahbaikan kepada casis dan sistem suspensi untuk menyokong prestasi enjin  M16A berkuasa 136 hp dan tork 160 Nm dalam pengendalian. Ternyata formula peningkatan yang diberikan membawa kesan positif.

Swift edisi sports ini mempunyai tindak balas stereng lebih progresif berbanding model Swift biasa. Ketepatan dalam pengendalian berjaya mengubah persepsi saya kepada model standard sebelum ini. Semasa memandu di jalan raya yang tidak rata, walaupun sistem penyerap hentak sedikit keras, ia masih kekal selesa.

Enjin 1.6 liter telah dipadankan dengan sistem transmisi automatik CVT. Kecekapan proses penukaran gear tujuh kelajuan cukup lancar. Varian automatik CVT turut mempunyai mod pemanduan manual. Penukaran gear boleh dilakukan dengan menggunakan paddleshift di belakang stereng.

Jumlah gear berbeza dengan varian Swift Sport versi manual yang mempunyai enam kelajuan berbanding varian CVT yang mempunyai tujuh kelajuan virtual.

Respons penukaran gear cepat dan tidak perlu menunggu lama untuk menghasilkan pecutan. Saya amat berterima kasih kepada respons enjin menghasilkan daya pecutan yang banyak membantu untuk memotong kenderaan lain.

Prestasi pengendalian Swift Sport cukup baik dan stabil semasa melalui jalan berliku. Respons stereng kepada tayar tepat dan pergerakan kereta sentiasa mengikut seperti mana yang saya kehendaki.

Keampuhan prestasi pengendalian jentera kecil Suzuki ini turut dibantu oleh sistem Electronic Stability Program (ESP).  Swift Sport dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan seperti ABS, Electronic Brake-force Distribution (EBD) dan enam unit beg udara.

Penggunaan minyak juga tidak terlalu memeningkan kepala. Mengikut data dari SMA, Swift Sport menggunakan purata 6.1 liter petrol untuk setiap 100 kilometer. Terdapat dua pilihan warna menarik iaitu Champion Yellow dan Snow White Pearl.

Suzuki Swift Sport dijual pada harga RM97,888 bagi versi automatik dan RM102,888 untuk versi manual.

Secara keseluruhan, saya boleh katakan Swift Sport mampu bersaing hebat dengan jentera kompak mini lain walaupun hanya mendapat unit enjin aspirasi semula jadi.


Spesifikasi

Enjin: M16A 1,586cc 4 silinder DOHC-VVT
Transmisi: CVT 7 kelajuan
Kuasa maksimum:136hp @ 6900 rpm
Tork Maksimum: 160Nm @ 4400rpm
Harga: RM97,888

mahal sangat harga .. lebih baik belu rumah .. haaaaaaa
Komen Facebook
0 Berikan komen anda
abam ming. Powered by Blogger.