Widgets

Pelaksanaan undang-undang poligami perlu diperketat



Pelaksanaan undang-undang perkahwinan yang membabitkan poligami di negara ini perlu dikaji semula berikutan banyak penyelewengan berlaku dalam kehidupan pengamal perkahwinan itu.

Exco Perhubungan Persatuan Peguam Muslim Malaysia Prof Madya Noor Awang Hamat berkata konflik yang timbul hasil perkahwinan kedua atau seterusnya, sering menyebabkan masyarakat memberi tanggapan negatif terhadap amalan poligami.

"Mungkin peraturan sedia ada perlu lebih diperketat atau disyaratkan dengan pelbagai peraturan seperti yang dijana dalam al-Quran dan hadis," katanya kepada Bernama pada Seminar Literasi Undang-Undang di Dewan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Mas di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pembangunan Wanita Negeri Kelantan Nur Laila Matlin.

Noor Awang berkata kesedaran orang ramai untuk memahami hak dan kewajipan bagi pasangan yang mengamalkan poligami terutamanya yang membabitkan keadilan dari segi nafkah dan urusan kehidupan seharian semua isteri dan anak-anak mereka.

"Dalam konteks Malaysia hari ini, saya melihat perlunya membina keluarga bahagia dahulu sebelum berhasrat membina sebuah keluarga baharu yang lain.

"Mereka yang ingin berpoligami perlulah menilai kemampuan diri sendiri terlebih dahuku kerana ia sunah dan tidak salah di sisi agama," katanya.

Dalam pada itu, Noor Awang berkata perkahwinan di Thailand mungkin menjadi penyelesaian bagi kes tertentu seperti pasangan terlanjur, perkahwinan tidak dipersetujui keluarga atau wali serta poligami.

Namun, katanya pasangan yang berkahwin di Thailand perlu segera mengesahkan perkahwinan mereka bagi menjamin hak pasangan terutama isteri terbela jika berlaku sesuatu dalam perkahwinan. - Bernama
Komen Facebook
0 Berikan komen anda

Post a Comment

abam ming. Powered by Blogger.