Isteri kepada Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed
hari ini memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa suaminya tidak
mungkin membunuh diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) Wilayah Persekutuan, pada 6 April lalu.
Masiah@Maziah Manap, 50, yang merupakan saksi pertama dalam
prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbani, berkata
suaminya adalah seorang yang tenang, bersikap rasional, penyabar dan
bukan seorang yang suka bertindak meluru.
"Sebagai orang Islam yang menunaikan sembahyang lima waktu, tidak
mungkin suami akan berbuat demikian," katanya.
Ibu kepada lima anak itu berkata pada hari kejadian suaminya ada
memaklumkan kepada anak perempuan mereka bahawa dia akan pulang ke rumah
tengah hari itu.
"Suami tidak cakap apa-apa pada saya tetapi arwah memaklumkan
perkara itu kepada Shahirah (anak) sebelum beliau pergi ke pejabat SPRM
dan ini yang meyakinkan saya bahawa dia nak balik," katanya ketika
disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohamad Abbas.
Masiah, yang mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Sarbani hampir
28 tahun, berkata pada 1 April lalu, dia menerima panggilan daripada
anaknya, Shahira yang memaklumkan arwah ingin bercakap dengannya tetapi
panggilan berkenaan terputus.
"Apabila saya pulang ke rumah pada 9 malam, anak saya
memberitahu abah (panggilan untuk Ahmad Sarbani) tidur di SPRM dan saya
kemudian cuba menghubungi beliau tetapi gagal.
"Pada keesokannya (2 April), saya cuba menghubunginya sekali
lagi namun tiada jawapan dan lebih kurang 10 pagi saya ada menghantar
SMS (khidmat pesanan ringkas) kepadanya menyatakan: "Kalau kita di pihak
yang benar, Allah akan bantu... kalau boleh, balik la, hari Ahad ni (3
April) kita ada kursus haji," katanya.
Masiah, yang bekerja sebagai penyelia di Petronas, berkata arwah
suaminya pernah memberitahu bahawa dia telah dianiayai oleh ejen.
"Saya pernah bertanya kepadanya, apa masalah yang berlaku
sekarang ini hinggakan SPRM menahannya dan dia (Ahmad Sarbani) berkata
ejen menganiayainya berkenaan baucar bernilai RM100.
"Menurut suami saya, ejen itu mengaku bahawa RM70 daripada RM100
baucar itu dia ambil manakala RM30 diberikan kepada suami saya... namun
suami memaklumkan kepada saya dia tidak ambil RM30 dan tidak
tandatangani baucer berkenaan," katanya.
Selain itu, Masiah berkata pegawai SPRM menghubunginya dan
memberitahu bahawa suaminya rebah dan telah meninggal dunia tanpa
dimaklumkan bahawa Ahmad Sarbani sebenarnya telah jatuh dari tingkat
tiga bangunan itu.
"Apabila saya pergi ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia
(HUKM) bersama empat anak perempuan untuk membuat pengecaman mayat
suami, saya nampak muka arwah seperti dihempuk ke dinding dan mukanya
penuh dengan ketulan darah beku.
"Mereka (pegawai SPRM) memberitahu saya bahawa dia (Ahmad
Sarbani) rebah, tetapi saya tengok mukanya kelihatan mencurigakan,"
katanya.
Sementara itu, Deputi Superintendan Sharul Othman Mansor yang
bertugas di Makmal Forensik Bukit Aman memberitahu prosiding beliau
berpendapat Ahmad Sarbani terjatuh dari tingkap di Bilik Pantri di Aras
3, bangunan SPRM itu ketika dia ingin keluar dari pejabat berkenaan
melalui tingkap itu.
"Saya percaya si mati (Ahmad Sarbani) cuba melompat ke bumbung
di bangunan SPRM yang berhampiran dengan tingkap tersebut tetapi tidak
sampai dan terjatuh di gelanggang badminton di aras satu bangunan itu,"
katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid.
Sharul Othman berkata apabila seseorang berada di bilik pantri
itu, dia boleh nampak bumbung berkenaan dekat dengan tingkap di Aras
Tiga, namun apabila dibuat ukuran, jaraknya agak jauh iaitu sembilan
kaki 11 inci.
Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan
Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Tingkat Satu, pejabat SPRM
Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.
Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk
bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang
membabitkan 62 pegawai Kastam.
Koroner Aizatul Akmal Maharani, yang mendengar prosiding itu,
dijadual melawat ke tempat kejadian di bangunan SPRM, Wilayah
Persekutuan di Jalan Cochrane pada 10 pagi esok. - BERNAMA
Marilah kita berdoa semoga keluarga Allahyarham terus tabah mengharungi kehidupan, Allah bersama pihak yang benar !