Lelaki curi Avanza tak sedar ada budak tidur dalam kenderaan.
Seorang budak empat tahun yang sedang tidur dalam
kenderaan pelbagai guna (MPV), menempuh detik mencemaskan kira-kira
tujuh jam apabila dilarikan seorang lelaki yang mencuri kenderaan
terbabit, ketika ditinggalkan ibunya berdekatan sebuah Taska dekat Masai
di sini, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku jam 7 pagi di Taman Kota Masai, ketika mangsa, Mohd
Mirza Baihiqi Suhaimi bersama kakaknya, Nurul Arisya, 9, dibawa ibu
mereka, Wan Juriana Wan Jamal, 36, untuk menghantar adik bongsu mereka,
Mohd Syakirin, dua tahun di Taska itu.
Ketika menyerahkan anak bongsunya kepada petugas Taska itu, Wan Juriana
yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri, tidak mematikan
enjin serta mengunci pintu kerana dua anaknya masih dalam MPV Toyota
Avanza itu termasuk Nurul Arisya yang duduk di tempat penumpang depan.
Menceritakan semula detik cemas itu, Nurul Arisya berkata,
ketika dia sedang menunggu ibunya kembali ke kenderaan itu, tiba-tiba
seorang lelaki masuk duduk di tempat pemandu kenderaan keluarganya itu
sebelum mengarahnya keluar dari MPV berkenaan.
“Ketika emak hantar adik saya masuk Taska, kereta tidak berkunci
dengan enjin masih hidup. Saya duduk di depan menunggunya, manakala
adik Mirza sedang tidur di tempat duduk belakang.
“Tiba-tiba seorang lelaki masuk dalam kereta dan menjerit suruh
saya keluar. Perbuatan itu membuatkan saya takut dan panik, sebelum saya
keluar. Lelaki itu memecut laju kereta emak sambil membawa sekali adik
saya yang sedang tidur,” katanya ketika ditemui di Taska itu petang
semalam.
Wan Juriana yang masih terkejut, berkata anaknya itu adalah
sesuatu yang tidak ternilai berbanding kereta yang dilarikan pencuri
dalam kejadian itu.
“Saya ibarat mendapat nyawa kembali apabila Mirza ditemui
selamat. Kejadian ini berlaku dalam sekelip mata ketika saya singgah dan
turun mendukung Syakirin untuk diserahkan kepada pengasuh,” katanya
ketika ditemui di Balai Polis Seri Alam, sejurus anaknya ditemui
selamat.
Bagaimanapun, Mohd Mirza Baihiqi ketika ditemui kelihatan masih
terpinga-pinga dengan pengalaman yang dilaluinya dan tidak mampu
menceritakan detik cemas ditempuh sepanjang tujuh jam berada bersama
pencuri kenderaan ibunya itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan
Saifi Abdul Hamid, yang mengesahkan kejadian itu, meminta kerjasama
orang ramai yang mempunyai maklumat kedudukan MPV Toyota Avanza yang
dilarikan dalam kejadian itu tampil menghubungi mana-mana balai polis
berdekatan.
Sentiasalah berhati-hati ... huhu