Widgets

Enggan kenang kisah lalu

Saleem bersyukur masih ada peminat setia menunggu album terbaru

Andainya artis seangkatan dengannya lebih gemar menghasilkan single, Saleem pula lebih memfokuskan kepada penghasilan album sehinggakan saban tahun ada saja album baru yang dihadiahkan olehnya untuk peminat. 


Selepas tiga album solonya sebelum ini, Trilogik Cinta (2008), Demi Cinta (2009) dan Dunia Etnik (2010), Saleem tampil dengan album terbaru berjudul Menyayangi Mu, yang akan berada di pasaran pertengahan September ini. 

Baginya, usia bukanlah penghalang untuk menghasilkan produk terbaru buat peminat, malah berbekalkan kecekalan dan kudrat yang ada, Saleem menempuh segala dugaan dengan tabah demi meneruskan kerjaya seni agar tidak dilupakan.

Sudah berusia separuh abad, Saleem tidak gentar dengan cabaran dalam industri muzik hari ini, walaupun terpaksa bersaing dengan barisan penyanyi yang jauh lebih muda kerana baginya, masih ada peminat yang menyanjungi muziknya.

Bertitik tolak dari situ,
Saleem enggan menoleh ke belakang mahupun mengimbau kisah hitam hidupnya yang dianggap luka, tetapi lebih terarah untuk kembali aktif dalam bidang seni suara tanah air.

“Sudah banyak kesilapan yang dilakukan sebelum ini dan saya tak mahu ingat lagi semua itu kerana hidup saya kini lebih bahagia.

“Buat apa nak ingat lagi kisah yang sudah lalu? Fokus saya kini nak aktif kembali dalam nyanyian dan saya tahu ramai peminat di luar sana yang menantikan album baru daripada saya,” katanya.

Album terkininya itu memuatkan 10 lagu termasuk lagu Tak Ku Sangka Tak Ku Duga, Guane Gamok Orang Kite, Menyayangi Mu, Cintaku Sampai Ke Syurga dan Ampunkanlah Jiwa. Lebih menarik, lagu Tak Ku Sangka Tak Ku Duga hasil ciptaan rakyat Singapura itu diambil daripada laman YouTube seperti lagunya sebelum ini, Trilogik Cinta dan Tinggal Kenangan.

“Perbezaan antara album ini dengan album sebelum ini adalah dari segi lagu, kerana semua lagu yang dimuatkan di dalam album ini ialah lagu baru.

“Lagu Tak Ku Sangka Tak Ku Duga kita ambil sebab tak ada artis yang mendakwa lagu itu lagu mereka, jadi kita muatkan dalam album ini,” jelasnya.

Saleem bersyukur walaupun usianya sudah menjangkau ke usia emas, namun masih ada peminat yang setia menantikan kemunculan buah tangan terbaru daripadanya.

Malah, sehingga kini permintaan untuknya mengadakan persembahan masih diterima dan karier seni vokalis ini masih rancak berjalan seperti pada usia mudanya.

“Alhamdulillah, sepanjang masa saya dapat undangan, tetapi untuk bulan puasa ini saya duduk rumah saja sebab lebih gemar habiskan masa bersama keluarga.

“Sebelum ini saya banyak buat persembahan di Terengganu dan Kelantan. Sepanjang berada di bawah pengurusan baru, jadual kerja saya lebih terurus dan saya sendiri menjadi lebih sibuk,” katanya.

Melantik isteri sendiri, Juliana Bachok, 45, sebagai pengurus peribadi nyata memudahkan tugas Saleem. Kini, segala pengurusan diri sehingga ke persembahan di uruskan wanita terbabit.



Uitt, takkan tengok je.:)




Terkilan tak dapat jumpa anak

KEHIDUPANNYA kini, kata Saleem, lebih bahagia dan bermakna, malah lebih teratur dan jauh lebih baik daripada dulu.

Bahkan, sejak Juliana menguruskan segala keperluan dan jadual kerjanya, Saleem berasakan hidupnya sekarang penuh dengan pelbagai aktiviti. Namun ia tidak menjadi halangan untuknya melakukan aktiviti riadah.

“Kalau ada masa di rumah, saya akan bersenam seperti berbasikal demi menjaga stamina. Maklumlah, semakin usia meningkat, semakin kurang stamina, jadi kita kena bersenam sentiasa.

“Dulu saya tak pernah bersenam, stamina pun kurang, jadi waktu buat show pun semput. Tetapi sejak berbasikal di rumah, saya semakin aktif dan tak ada masalah kesihatan sangat,” katanya.

Walaupun memiliki kehidupan baru bersama isteri dan anak, Amirul Mukminin, 7 tahun, namun nyata terdetik di hati Saleem untuk bertemu juga dengan lima lagi anaknya ketika bersama isterinya sebelum ini.

Lebih terkilan, anak-anaknya itu tidak dibenarkan bertemu dengan ayahnya setelah pasangan itu berpisah, malah Saleem turut dikatakan tidak diundang ke majlis perkahwinan anak sulungnya yang berusia 24 tahun.

Bagi Saleem, apa yang dilakukan bekas isterinya itu mungkin satu hukuman kepadanya, namun hati mana yang tidak dirundung duka tatkala diperlakukan sebegitu.

Begitupun, Saleem tabah dengan suratan takdir dan berharap akan dipertemukan juga dengan anak-anaknya suatu hari nanti.

“Tapi saya dengan anak-anak masih berhubungan walaupun bekas isteri buat macam itu. Anak-anak di Kelantan, dan alhamdulillah saya sudah mempunyai cucu.

“Saya malas nak besarkan isu ini... Biarlah, asalkan mereka (anak-anak) masih ingat pada saya. Apa yang dia nak lakukan pada saya, itu hak dia, tapi yang saya terasa sangat sampai emak saya sendiri tak dibenarkan berjumpa dengan anak-anak saya,” katanya yang turut menyimpan impian beraya bersama anak-anaknya suatu masa nanti.

Ketika ini, kerinduan itu diubati terlebih dulu dengan beraya bersama anak bongsu di Pontian, Johor, pada Aidilfitri ini. Dia juga akan pulang beraya di kampung halamannya, Terengganu.
Komen Facebook
2 Berikan komen anda

2 0 komen dari rakan facebook dan rakan blogger

lagu2 saleem sedap la..[tetiba]hehe

Reply

bell : memang best pom, ahahaha

Reply

Post a Comment

abam ming. Powered by Blogger.