Latiff (dua, kiri) mencuba replika cermin mata pada majlis penyampaian sumbangan Program Ihsan Samudera anjuran 1MDB di LKIM Endau, semalam. |
Penduduk dekat sini berpeluang mendapatkan cermin mata percuma menerusi Program Ihsan Samudera anjuran Yayasan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengarah Operasi Ihsan Perdana Sdn Bhd, Jofa Hilmi Jaafar berkata, sebanyak 2,000 cermin mata berserta pemeriksaan ujian mata secara percuma ditawarkan kepada penduduk Mersing.
Menurutnya, program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu turut mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
“Peluang ini terhad di mana sebanyak 1,000 cermin mata percuma telah diberikan di pusat LKIM Mersing dan selebihnya di LKIM Endau semalam.
“Ia merupakan aktiviti sumbangan khidmat kepada masyarakat setempat khususnya untuk para nelayan dan anak mereka,” katanya.
Menurutnya, dalam program itu sebanyak 759 anak nelayan melibatkan lapan sekolah rendah turut menerima peralatan sekolah berjumlah RM180 dan RM100 untuk wang saku persekolahan.
“Selain itu, seramai 1,128 nelayan menerima sumbangan makanan, 400 unit jaket keselamatan, 20 unit bot fiber 21 kaki, 20 unit enjin sangkut 30kk Yamaha dan 200 set pukat.
“Secara keseluruhannya sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi Parlimen Mersing untuk kebaikan golongan para nelayan di kawasan ini,” katanya.
Jofa Hilmi berkata, dengan sumbangan yang diterima diharapkan dapat mengurangkan beban mereka sekaligus membantu mempertingkatkan taraf hidup para nelayan di daerah ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Latiff Ahmad merasmikan program tersebut yang dihadiri kira-kira 3,000 orang sekitar Endau.