SIAPA tak kenal personaliti sensasi, Azwan Ali? Namanya sering kali dikaitkan dengan kisah kontroversi dan sikap lantangnya dalam berbicara.
Hampir setiap patah perkataan yang dikeluarkan, pasti menjadi kontroversi dan isu hangat.
Namun, jauh di sudut hati, Azwan berharap agar lembaran tahun 2013 memberi sinar baru buat dirinya.
Enggan mengimbau peristiwa lalu, Azwan kini membuka lembaran baru dalam kerjayanya.
Mula berkhidmat sebagai penyampai radio di stesen radio online, KLpop Radio, pada 1 Januari lalu, Azwan diberi tanggungjawab mengendalikan segmen, Mulut Longkang.
"Alhamdulillah, rezeki untuk tahun 2013. Pada mulanya, saya tidak menduga tawaran yang diberi kerana tidak pernah terlibat dalam bidang ini.
"Memandangkan radio ini masih baru, saya harus main peranan memperkenalkannya secara umum. Setakat ini, penerimaan sangat membanggakan dan ramai yang menyokong karier saya.
"Saya tiada pengalaman luas dalam bidang penyampaian radio. Sehingga kini, saya masih melalui proses pembelajaran dan setiap hari saya belajar benda baru," katanya yang dikenali sebagai DJ Adik di dalam segmen kendaliannya.
Sepanjang tiga jam ke udara, setiap Isnin hingga Jumaat bermula 12 tengah hari hingga 3 petang, Azwan memuatkan beberapa pecahan segmen seperti segmen Carut, Call Pelesu, Diva Vazz, Jom Insaf, Cer Kebaboom dan Twit Boom.
Selain segmen itu, KLpop Radio turut memuatkan segmen Rockafela, Hujung Minggu KLpop, Sembang Mumbang, Lu Pilih Wa Putar, Muzik Mamak Stall, Insomniac dan Pagi KLpop.
Umi Hafilda?
Setiap orang mengimpikan hubungan yang baik di antara keluarga dan adik beradik, begitu juga dengan pelakon filem, Tipu Kanan Tipu Kiri ini.
Walaupun kisah persengketaan bersama adiknya, Umi Hafilda mencapai kata sepakat untuk berdamai, namun Azwan menganggap hubungan mereka ibarat retak menanti belah.
"Boleh dikatakan, hubungan keluarga kami tidak mampu diselamatkan lagi. Kami lebih selesa membawa haluan masing-masing.
"Lebih baik saya mendiamkan diri daripada mencampuri hal mereka. Saya hanya ingin bekerja dan mencari rezeki.
"Sebelum ini, saya akui ia adalah kesilapan saya kerana terlalu ingin mencampuri urusan itu, namun ternyata saya silap langkah. ia adalah pengajaran berguna buat saya untuk lebih berhati-hati di masa hadapan," katanya yang juga adik kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.