SUZUKI Malaysia Automobile Sdn Bhd (SMA) optimis menjual kira-kira 600 unit sebulan Suzuki Swift baru, di pasaran Malaysia.
Pengarah Urusan SMA, Keiichi Suzuki berkata, jumlah itu mampu dicapai jika dilihat kepada jualan model Suzuki Swift sebelum ini mencatat 500 unit sebulan.
“Kami memiliki rangkaian wakil jualan yang terbaik, dan dalam kalangan model Suzuki, Swift mencatatkan pertumbuhan jualan 73 peratus tahun lalu serta mampu menguasai pasaran segmen kereta kompak di Malaysia.
“Setiap tahun, Suzuki mencatatkan pertumbuhan kukuh di pasaran global dan Malaysia. Bagi tahun kewangan 2011/2012,
"SMA telah menjual 7,595 unit kereta Suzuki, di mana peningkatan tujuh peratus berbanding tahun kewangan lalu,” katanya selepas majlis pelancaran. Menurutnya, walaupun kapasiti enjin telah pun diturunkan kepada 1.4 liter, Swift masih menawarkan pengendalian dan prestasi terbaik.
Dalam pada itu, Suzuki turut memberitahu, model Swift generasi kedua sudah pun diberhentikan pengeluarannya sekitar Disember lalu dan buat masa ini, Swift baru dibawa masuk dari Thailand (CKD ASEAN).
“Kami juga dalam perancangan melakukan pemasangan tempatan bagi model Swift di Kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang sekitar pertengahan tahun ini,” katanya.
Model terlaris Suzuki itu dijual pada harga RM77,888 (dengan insurans) dan ditawarkan dengan lima warna menarik, antaranya biru, merah dan putih.
Suzuki Swift generasi ketiga ini sedia ditempah di 32 pusat jualan dan edaran SMA seluruh negara bermula semalam.