Widgets

Fungsi Bahasa Melayu

PENGENALAN

Ada pepatah Melayu yang berbunyi “Maju Bahasa Majulah Bangsa” dan “ Bahasa Jiwa Bangsa”. Kebenaran dan kebijaksanaan kata-kata ini memang tidak dapat dinafikan lagi. Hal ini disedari melalui usaha-usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu menerusi penerapan falsafah dan Dasar Bahasa Kebangsaan. Konsep “Satu Bahasa Satu Bangsa” akan membolehkan usaha-usaha yang berterusan bagi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai penyatuan rakyat yang berbilang kaum dan sebagai bahasa yang mencerminkan masyarakat yang berdaulat dan berjaya.

Bahasa Melayu semenjak zaman Empayar Sriwijaya telah memainkan peranannya sebagai bahasa lingua franca di nusantara secara berterusan sampai sekarang. Penjajahan kuasa asing tidak menjejaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca. Ciri ketahanan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu mempunyai potensi untuk terus berkembang pada masa akan datang.

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu digerakkan serentak dengan perjuangan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan; yang akhirnya kejayaan tercapai dengan termaktubnya, Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut “Bahasa Kebangsaan Negara ini ialah bahasa Melayu”.
Sebagai bahasa kebangsaan negara baru yang berdaulat, bahasa Melayu ditambah peranan atau fungsinya sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa urusan perniagaan dan bahasa komunikasi. Pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu akan melahirkan rasa cinta terhadap bahasa Melayu. Hal ini akan mendorong kita untuk mempelajari, menghayati, menguasai, dan menggunakannya dengan berkesan. Selain itu, sebagai rakyat Malaysia akan berasa bangga terhadap bahasa kebanggaan negara kerana bahasa ini merupakan lambang jati diri dan kedaulatan negara. Sesungguhnya, pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu ini dapat mewujudkan persefahaman pemikiran dan tindak-tanduk kita dalam kehidupan seharian.

5.1 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan 

Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang dapat memperlihatkan identiti nasional dan lambang bagi sesuatu bangsa atau negara. Kedaulatan bahasa Melayu muncul kembali apabila bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, Indonesia, Negara Brunei Darussalam dan Singapura. Bahasa kebangsaan mempunyai kaitan rapat dengan sejarah bangsa dan negara itu sendiri. Setiap negara yang merdeka perlu memiliki bahasa kebangsaan yang dapat melambangkan identiti bangsa dan negara tersebut. Sesuatu bahasa itu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan melalui penggubalan undang-undang.

Fungsi utama bahasa kebangsaan secara khusus adalah untuk menyerlahkan lambang inspirasi dan semangat kebangsaan dan kemerdekaan. Tidak ketinggalan juga pengisian bahasa kebangsaan juga dapat bertindak sebagai alat perhubungan dan seterusnya akan menghasilkan satu kumpulan besar masyarakat yang mempunyai pandangan hidup yang hampir sama. Bahasa kebangsaan juga adalah digunakan untuk perpaduan dalam kalangan warganegara kerana mempunyai masyarakat yang berbilang kaum.

Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan. Sebuah negara yang merdeka memerlukan satu bahasa kebangsaan untuk menjadi dasar satu identifikasi nasional. Jawatankuasa yang merangka Perlembagaan Persekutuan yang diketuai oleh Lord Reid sedar peri pentingnya bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia. Justeru, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.

Bahasa kebangsaan perlu diwujudkan dalam sesebuah negara kerana melambangkan identiti kebangsaan dan kedaulatan negara. Bahasa kebangsaan juga berfungsi menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta membentuk satu bangsa Malaysia mempunyai identiti keperibadian yang dibanggakan dan kesetiaan yang tinggi. Bahasa kebangsaan juga boleh menggalakkan pertumbuhan corak kebudayaan kebangsaan dan alat komunikasi bagi rakyat Malaysia yang mempunyai etnik yang menutur pelbagai bahasa.

Untuk memenuhi hasrat ini, pada peringkat awal bahasa kebangsaan telah diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran di sekolah-sekolah. Kemudian, apabila kedudukan bahasa Melayu sudah mentap dan menjadi keperluan untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat serta memupuk keperibadian masyarakat, istilah ‘Bahasa Malaysia’ pula digunakan. Hal ini bermakna, bahasa Malaysia merujuk kepada bahasa Melayu. Namun demikian, istilah bahasa Melayu dan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan tetap tidak berubah dan terus kekal dalam perlembagaan negara.



5.2 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi

Bahasa rasmi merupakan bahasa yang diberikan status sedemikian secara sah oleh sesebuah negara, negeri atau wilayah. Bahasa rasmi merupakan bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi seperti dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan, urusan perdagangan dan perusahaan, kehakiman, upacara rasmi dan antarabangsa. Bagi sesetengah negara, bahasa rasmi digunakan oleh kerajaan dan pemerintah dalam dokumen rasmi kerajaan berbanding penggunaan bahasa kebangsaan.

Dalam konteks Malaysia, bahasa rasmi bererti pelaksanaan bahasa Melayu sebagai wahana pembinaan negara dalam semua urusan, terutama urusan pentadbiran negara. Bahasa rasmi merupakan bahasa yang dipilih untuk tujuan urusan seharian negara dan fungsinya pula dapat memenuhi beberapa kegiatan pada peringkat kenegaraan seperti:

i. Bahasa lisan para pegawai kerajaan sewaktu menjalankan tugas-tugas rasmi negara.

ii. Media dalam segala urusan surat-menyurat dalam dan antara jabatan.

iii. Penulisan dokumen dan rekod kerajaan.

iv. Media untuk menulis semula undang-undang dan peraturan negara.

v. Penulisan semua jenis borang urusan rasmi kerajaan.



Bahasa Melayu yang dipilih sebagai bahasa kebangsaan namun bahasa Inggeris masih digunakan secara rasmi antara tahun 1957 hingga 1967. Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia melalui penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yang mula berkuat kuasa pada April 1963. Akta ini mengandungi tiga seksyen yang meliputi aspek-aspek tulisan, bentuk angka dan bahasa yang digunakan dalam borang rasmi kerajaan. Pada tahun 1967, Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan dan mula berkuat kuasa oada 1 September 1967 di Semenanjung Malaysia. Akta ini kemudian disemak dan akhirnya disatukan dengan Akat Bahasa Kebangsaan 1063 dan dikenali sebagai Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Kedua-dua akta ini jelas menunjukkan tentang bahasa Melayu yang dipilih sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi kegunaan masyarakat. Akta bahasa kebangsaan 1967 memperuntukkan bahawa selepas 1 September 1967, bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi, kecuali kes tertentu seperti undang-undang yang sedia ditulis dalam bahasa Inggeris, perhubungan antarabangsa, hubungan diplomatik dan sebagainya. Penekanan tentang penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi ini semakin mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.



5.3 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu / Bahasa Akademik

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bermaksud fungsi bahasa bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat menyampaikan ilmu pengetahuan moden, iaitu ilmu sains, teknologi, ekonomi, kejuteraan, kedoktoran, dan undang-undang di samping sastera dan agama. Dengan kata lain bahasa Melayu harus boleh berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-lars bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal baharu dalam aneka bidang ilmu moden, misalnya dalam bidang kejuteraan, bahasa Melayu harus mempunyai laras-laras bahasa yang khusus untuk menerangkan hal-hal tentang kejuteraan awam, kejuteraaan elektrik dan elektronik, kejuteraan mekanikal dan kejuteraan kimia. Begitu juga dalam bidang kedoktoran, bahasa Melayu perlu mempunyai laras bahasa untuk memperkatakan hal-hal dengan tepat tentang bidang anatomi, biokimia, farmakologi, fisiologi, mikrobiologi perubatan, obstetrik dan ginakologi dan lain-lain lagi.

Laras-laras saintifik ini berbeza pula dengan laras sains sosial dan kemanusiaan seperti laras kesusasteraan, laras sejarah, laras seni ukir, laras sains rumah tangga dan sebagainya (Nik Safiah Karim, 1986:6). Sebagai bahasa ilmu bahasa Melayu harus mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan bahasa yang sesuai untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran tentang hal-hal perdagangan antarabangsa, perindustrian ringan dan berat, perniagaan saham, pengurusan perakaunan dan perangkaan. Maksudnya kekuatan bahasa Melayu seharusnya setanding dengan kekuatan bahasa Inggeris dalam memperkatakan konsep dan pemikiran ilmu moden. Bahasa Melayu perlu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jerman dan bahasa Jepun yang sudah lama berperanan sebagai bahasa ilmu moden dengan jayanya.

Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu perlu mempunyai ciri keintelektualan bahasa dan kesempurnaan bahasa. Keintelektualan bahasa ini dapat dicapai, terutamanya melalui perbendaharaan kata dan sistem tatabahasa. Bahasa Melayu pada hari ini dapat memperkatakan bidang yang berbeza daripada apa yang mampu dilakukan oleh bahasa Melayu suatu masa dahulu. Oleh itu, sifat perbendaharaan kata bahasa Melayu juga turut mengalami perubahan. Jika dahulu perbendaharaan kata bahasa Arab dan Sanskrit, kini perkataan bahasa Inggeris sering digunakan, terutamanya dalam bidang ilmu pengetahuan moden.

Sistem tatabahasa pula merujuk kepada segala aspek tatabahasa sama ada ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan dan seumpamanya. Penekanan harus diberi kepada aspek imbuhan dan ejaan kerana kesilapan dalam penggunaannya boleh mengubah maksud sebenar sesuatu ayat yang dihasilkan itu. Bagi menangani perkara ini, terutamanya dari aspek sebutan, perancangan dan pelaksanaan bahasa baku dijalankan. Hal ini bertujuan untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang bertaraf tinggi dan ada keselarasan dalam penggunaannya.

Berdasarkan begitu banyak teks, kamus, majalah, istilah dan bahan-bahan bacaan dan rujukan sudah diterbitkan untuk kegunaan pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi baik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mahupun penerbit-penerbit swasta, dan berpegang kepada hakikat bahawa bahasa Melayu sudahpun mempunyai pelbagai laras bahasa dalam beraneka bidang ilmu pengetahuan, kita dengan penuh keyakinan menyatakan bahawa bahasa Melayu sudahpun berjaya sebagai bahasa ilmu.



5.4 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar

Dengan tercatatnya dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Penyata Razak (1956), usaha untuk mencapai tujuan ini telah mula dijalankan. Mulai tahun 1958, bahasa Melayu yang dahulunya digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah Melayu hingga ke peringkat darjah VI telah digunakan sebagai bahasa pengantar di kelas menengah Melayu yang kemudiannya menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan.

Di Semenanjung dan di Sabah, pertukaran bahasa pengantar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris telah dijalankan secara berperingkat-peringkat dan dimulakan pada bulan Januari 1968 dengan menetapkan mata pelajaran Jasmani, Ilmu Kesihatan, Seni Lukis dan Pertukangan Tangan, Pelajaran Tempatan dan Muzik diajarkan dalam bahasa Melayu di darjah 1 – 111. Ini diikuti pula oleh mata pelajaran Tatarakyat, sejarah dan Geografi di darjah IV pada tahun 1969. Pada tahun 1970, semua mata pelajaran di darjah I, melainkan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda selain dari bahasa Melayu, diajar dalam bahasa Melayu. Pada tahun 1975, semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Di Sarawak, pelaksanaannya dimulakan pada tahun 1977, iqitu untuk darjah 1.

Bagi Sekolah Menengah pula, pada tahun 1973, semua mata pelajaran sastera di Tingkatan 1 diajarkan dalam bahasa Melayu. Untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu, murid dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil yang menerima pelajaran rendah mereka dengan berpengantarkan bahasa Cina dan bahasa Tamil, bahasa Melayu telah diajarkan sebagai satu mata pelajaran. Seterusnya pada tahun 1975, kelas peralihan bahasa Melayu telah dimulakan supaya pelajar dari sekolah rendah jenis kebangsaan ini dapat meneruskan pelajaran menengah mereka dalam bahasa pengantar bahasa Melayu. Pada tahun 1976, semua Tingkatan 1 menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, dan semua mata pelajaran sastera di Tingakatan IV diajarkan dalam bahasa Melayu. Mulai tahaun 1980, semua sekolah menengah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Tingkatan 1 – V, melainkan Tingkatan VI akan menggunakannya mulai tahun 1981.

Kepentingan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan juga sebagai satu mata pelajaran diperkuatkan lagi dalam sistem peperiksaan dengan menjadikan kelulusan dalam mata pelajaran bahasa Melayu sebagai syarat untuk mendapatkan sijil.

Penyata Razak telah menyarankan bahawa bahasa Melayu boleh dijadikan satu mata pelajaran yang penting dalam latihan perguruan. Penyata Rahman Talib telah mengesyorkan supaya Menteri Pelajaran menetapkan satu tarikh yang kelulusan di dalam bahasa Melayu menjadi syarat wajib untuk kemasukan ke mana-mana skim latihan perguruan, dan dalam memilih bakal guru pelatih, keutamaan hendaklah diberi kepada calon yang mempunyai kelulusan di dalam bahasa Melayu.

Bahasa Melayu telah dijadikan mata pelajaran wajib di dalam kursus perguruan sejak tahun 1957. Program. Program untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di maktab perguruan telah dijalankan secara beransur-ansur mulai tahun yang sama. Mulai tahun 1970, bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar utama untuk kursus perguruan sekolah rendah dan mulai tahun 1973, semua maktab perguruan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam hampir semua kursus.

Dasar bahasa Melayu di universiti tidak terpisah daripada dasar bahasa Melayu dalam Perlembagaan Malaysia dan dasar pelajaran kebangsaan. Dewasa ini pelajar yang mengikuti pengajian di universiti diwajibkan mendapat sekurang-kurangnya pangkat lulus dalam bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, melainkan Universiti Teknologi Malaysia yang memerlukan kelulusan sekurang-kurangnya taraf kepujian. Di universiti tempatan, kedudukan penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat dari aspek pengajaran dan aspek pentadbiran. Dalam bidang pengajaran, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar untuk mata pelajaran tertentu, dan juga diajar sebagai satu mata pelajaran. Dalam bidang pentadbiran, pada umumnya, bahasa Melayu sudah digunakan sepenuhnya. Pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di universiti telah menunjukkan perkembangan yang menggalakkan. Menjelang tahun 1983, pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran sastera di peringkat tahun pertama dilaksanakan.











5.5 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Perpaduan

Sepanjang bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa lingua franca dari zaman Sriwijaya hingga hari ini, bahasa Melayu telah berperanan sebagai alat perpaduan. Pada masa Sriwijaya berkuasa, kemudian diikuti pula oleh Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Johor-Riau, bahasa Melayu telah menjadi alat perpaduan yang menyatupadukan suku-suku bangsa di Nusantara. Pada masa penjajahan Inggeris dan Belanda, bahasa Melayu masih memainkan peranan sebagai bahasa perpaduan. Apabila Malaysia dan Indonesia didatangi oleh suku-suku bangsa yang bukan serumpun dengan suku-suku bangsa di Nusantara, iaitu Cina dan India, sekali lagi bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa perpaduan. Bangsa-bangsa pendatang ini bersedia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan antara pelbagai kaum di Malaysia.

Penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan oleh semua kaum adalah suatu tanda bahawa mereka menerima konsep bahasa Melayu sebagai bahasa yang dapat menyatupadukan masyarakat Malaysia. Mereka menerima bahawa bahasa Melayu patut dipelajari oleh semua kaum agar mereka dapat berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain. Oleh itu, mata pelajaran bahasa Melayu diwajibkan kepada semua pelajar pada semua peringkat sekolah, sebaik sahaja bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan Malaysia. Oleh itu, bahasa Melayu bertindak sebagai alat yang menghubungkan penutur-penutur daripada berbagai-bagai bangsa dan berupaya untuk menyatupadukan bangsa yang dikenal sebagai bangsa Malaysia.



5.6 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Komunikasi

Komunikasi bermaksud perhubungan antara orang dengan orang atau antara organisasi dengan organisasi, dengan menggunakan bahasa atau isyarat. Komunikasi ini boleh berbentuk lisan atau tulisan dalam erti kata yang tradisional. Sebaliknya, pada zaman serba canggih ini, komunikasi boleh mengambil bentuk-bentuk yang berbeza. Sebagai contoh, filem dapat menjadi alat komunikasi yang sangat berkesan. Cerita yang dipaparkan dapat menimbulkan pelbagai perasaan dan emosi. Oleh itu, sesebuah filem dapat menaikkan imej seseorang atau sesebuah negara ataupun sebaliknya. P. Ramlee, melalui filem-filemnya telah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mampu merentasi batasan bangsa dan budaya dan telah diterima oleh mesyarakat pada ketika itu sehingga kini. Bahasa Melayu dalam konteks komunikasi tradisional telah memainkan peranannya sebagai bahasa lingua franca semenjak zaman Empayar Sriwijaya lagi. Pada hari ini, hampir semua rakyat Malaysia dapat berkomunikasi dengan menggunakan bahasa kebangsaan kita. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa dalam semua bentuk komunikasi secara meluas melainkan dalam sektor swasta.Bahasa Melayu sebenarnya mempunyai potensi untuk menjadi bahasa antarabangsa kerana empat buah negara Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Era digital”, “dunia tanpa sempadan”, dan “global” adalah istilah-istilah yang menggambarkan senario masa depan dunia. Era baru ini dapat dijadikan jentera untuk memperkaya sesuatu bahasa dan memperkenalkannya ke seluruh dunia. Satu daripada cara untuk memperkenalkannya ke seluruh dunia adalah dengan menggunakan Internet. Pada masa yang sama, bahasa Melayu dapat diperkenalkan melalui program “Belajar Bahasa Melayu” melalui internet.



5.7 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Urusan Perniagaan

Kadar penggunaan bahasa Melayu dalam urusan perniagaan amat bergantung pada sejauh mana penutur-penutur ibunda bahasa itu menggunakannya dalam urusan perniagaan mereka. Sekiranya banyak antara mereka terlibat dalam perniagaan, maka bahasa yang digunakan mereka akan dijadikan alat komunikasi dalam urusan perniagaan dengan meluas. Bahasa Inggeris, sebagai contoh, menjadi pilihan ahli-ahli perniagaan pada masa kini kerana besarnya jumlah perniagaan yang dijalankan oleh negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Britain. Sebaliknya, bahasa Melayu tidak akan menjadi bahasa perantaraan dalam kalangan ahli perniagaan sekirannya negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu tidak cergas terlibat dalam bidang tersebut.



Kesimpulan

Tujuh fungsi bahasa yang dibincangkan dalam bab ini khusus merujuk kepada bahasa Melayu. Dengan kata lain, bahasa Melayu yang telah diiktiraf dalam Perlembagaan Malaysia itu mempunyai tujuh fungsi, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu/akademik, bahasa pengantar, bahasa perpaduan, bahasa komunikasi dan bahasa urusan perniagaan. Kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan bahasa Melayu harus memikul tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca supaya dikenali dan boleh diguna pakai oleh masyarakat dunia.
Komen Facebook
0 Berikan komen anda
abam ming. Powered by Blogger.