Widgets

Tulisan Jawi Pada Zaman Kesultanan Melayu Johor

Tulisan jawi ialah tulisan huruf-huruf Arab yang digunakan di kepulauan Melayu atau tulisan Melayu huruf Arab. Perkataan jawi berasal dari bahasa Arab dan dipanggil Yawi di Pattani, ialah sejenis abjad Arab yang disesuaikan untuk menulis bahasa Melayu (Mahyudin Yahya: 1986). Perkataan ini adalah kata adjektif bagi kata nama Arab “Jawah” dan apabila dijadikan kata adjektif “Jawah” menjadi “Jawi” (Amat Juhari: 1996). Ibn Batutah telah menggunakan nama al-Jawah bagi merujuk kepada Nusantara. 

Perkataan Jawi adalah nama bagi penduduk - penduduknya. Dengan itu nama Jawah dan Jawi tidak hanya merujuk kepada kepulauan Jawa dan penduduknya sahaja bahkan ianya digunakan untuk seluruh daerah Asia Tenggara dan penduduknya sekali (Ibn Batutah: 1964). 

Ejaan jawi adalah warisan khazanah bangsa Melayu yang sangat berharga. Ejaan jawi telah memainkan peranan penting dalam perkembangan ilmu dan kebudayaan bangsa Melayu. Berbagai bidang ilmu terutama pengajian Islam, kesusasteraan, sejarah dan perubatan telah ditulis dalam bahasa Melayu dalam tulisan jawi. Ejaan jawi di Tanah Melayu adalah berasal daripada huruf Arab. Ismail Hamid (1981) menerangkan bahawa ejaan jawi telah diperkenalkan dan disebarkan oleh pedagang-pedagang yang mengembangkan Islam di nusantara khasnya di Tanah Melayu.

Sebelum Bahasa Melayu menerima mana-mana pengaruh, bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisannya yang tersendiri walaupun tidaklah begitu sempurna. Aksara rencong ialah huruf Melayu tua yang lebih tua daripada aksara Jawa kuno (tulisan Kawi). Sisa tulisan ini dapat kita lihat dalam tulisan Rencong yang digunakan di Sumatera Selatan, di daerah Bangkahulu dan Palembang di sebelah hulu, manakala tulisan Kawi di Jawa. Masyarakat yang memiliki tulisan kebiasaannya dianggap telah memiliki peradaban yang lebih tinggi berbanding dengan yang lain.

Hingga abad ke-14, Bahasa Melayu telah mengalami pengaruh daripada tiga bahasa, iaitu Bahasa Sanskrit, Bahasa Jawa dan Bahasa Arab. Pengaruh pertama terhadap Bahasa Melayu ialah Bahasa Sanskrit yang dibawa oleh pedagang-pedagang India atau pedagang Melayu yang berurusan dengan negara India. Akibatnya pengaruh indianisasi berkembang dalam budaya Melayu. Para sarjana berpendapat pengaruh Hindu masuk ke alam Melayu sekitar abad ke-14, iaitu zaman kemuncaknya pengaruh Hindu di kepulauan Melayu. Bahasa Sanskrit dianggap asas kepada Bahasa Melayu yang hidup hingga pada hari ini. Tulisan Bahasa Melayu yang asal, iaitu huruf Rencong tersisih tetapi kosa katanya bertambah kaya.

Namun begitu, muncul pula tulisan yang dikenali sebagai tulisan Jawi. Didapati bahawa menerusi tulisan inilah Bahasa Melayu terus maju dalam pelbagai bidang. Kebanyakan mubaligh dan golongan cendekia Melayu mengenal pasti bunyi Bahasa Melayu yang tidak terdapat dalam Bahasa Arab. Kekurangan abjad ini telah menyebabkan mereka memilih huruf Parsi dan huruf lain yang mereka cipta sendiri dengan menambah tanda pada huruf Arab yang sedia ada.



3.1 Tulisan Jawi digunakan di Batu Bersurat Terengganu, menunjukkan pengaruh Islam di Tanah Melayu.

Batu bersurat (Rajah 3.1) memperlihatkan pengaruh Bahasa Arab mula menjalar masuk ke dalam Bahasa Melayu. Batu bersurat di Kuala Berang memperlihatkan satu perubahan radikal terhadap Bahasa Melayu. Tulisan pada batu bersurat tersebut memperlihatkan penggunaan huruf-huruf yang dikatakan tulisan Jawi. Tulisan Jawi yang terdapat pada Batu Bersurat Kuala Berang memperlihatkan bahawa tulisan ini telah mengenal abjad Bahasa Melayu dengan agak lengkap. Misalnya, abjad yang terdapat dalam perkataan yang tertulis pada batu bersurat tersebut. Antaranya ialah a (ada), b (bagi), c (cucuku), r (rasul) dan lain-lain. Didapati juga bahawa keseluruhan wacana yang terdapat pada Batu bersurat Kuala Berang itu hanya huruf ‘q,v,x, dan z’ sahaja yang tidak ditemui. Namun demikian, hal ini tidaklah mengatakan bahawa huruf ‘q’ dan ‘z’ tidak ada pada zaman tersebut kerana huruf tersebut sememangnya wujud dalam huruf Arab, iaitu ‘Qaf’ dan ‘Zai’.

Namun demikian pada kira-kira tiga ratus tahun lebih kemudian daripada bukti pertama yang bertulis Arab barulah ditemui bukti berbahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi. Bukti tersebut ialah bukti di Terengganu yang ditemui di Kuala Berang Trengganu yang bertarikh pada hari Jumaat 4 Rejab 702H bersamaan 22 haribulan Februari 1303M. Bukti ini ditulis di empat penjuru dengan bahasa Melayu huruf Jawi dan mengandungi hukum syara’ yang wajib dipatuhi oleh semua rakyat. Batu itu telah ditemui oleh orang-orang kampung di situ dan ianya dijadikan sebagai pelapik untuk membasuh kaki sebelum naik ke dalam surau. Penemuan pertama ini dianggarkan berlaku pada tahun 1887 (Syed Naquib: 1970). Penemuan batu bersurat ini menunjukkan bahawa tulisan jawi telah digunakan sebelum tahun 1303M lagi dan sehingga hari ini tulisan jawi masih terus digunakan. Bentuk tulisan Jawi pada bukti ini ialah tulisan khat nasakh yang mudah dibaca dan ada menyebut nama Tuhan dengan panggilan “Dewata Yang Mulia”.

Namun kerana usianya yang terlalu lama di samping ianya telah digunakan untuk pelapik kaki maka terdapat beberapa bahagian yang telah haus. Bukti ini merupakan satu kesan sejarah Islam yang terpenting dijumpai di Malaysia kerana ianya telah membuktikan dengan jelas betapa ajaran Islam sebenarnya telah dilaksanakan dan diamalkan dengan sempurna dan kuat pada kurun ke 14 Masihi. Di samping itu ianya juga menunjukkan bahawa negeri Trengganu telah menjadi dakwah Islam di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan sebab itu tidak hairanlah kenapa Trengganu kini digelar sebagai Darul Iman.

Pada masa tersebut juga, penulisan kitab agama mahupun kesusasteraan berkembang dengan subur di Aceh. Ini disebabkan keutamaan yang diberikan oleh kerajaan Aceh tentang penulisan keagamaan dan kesusasteraan bercorak Islam. Para pujangga telah diberikan layanan istimewa. Oleh itu, kita dapati perkembangan tulisan Jawi, sedikit demi sedikit, mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Melayu. Pada abad ke-13 merupakan zaman kegemilangan Islam ke alam Melayu. Perkembangan agama Islam telah meletakkan bahasa rasmi agama Islam ialah Bahasa Arab yang mulai mendapat tempat dalam kalangan penganut agama Islam di daerah ini. Bahasa Melayu Kuno yang menggunakan huruf-huruf India bertukar menggunakan huruf-huruf Arab disebut huruf Jawi. Perkataan Jawi ini bermaksud ‘orang Jawa’ atau ‘berasal dari tanah Jawa’.

Penulis-penulis Arab pada zaman klasik termasuk Ibn Batutah dalam bukunya “al-Rehlah” menggelarkan pulau Sumatera sebagai Al-Jawah. Oleh itu, orang Arab memanggil orang Melayu di Jawa sebagai Jawi dan tulisan Melayu yang menggunakan huruf Arab sebagai tulisan Jawi. Tulisan ini dicampuradukkan dengan tulisan Arab yang menggunakan 29 huruf dengan lima huruf tambahan bukan Arab yang dicipta oleh orang Melayu sendiri. Lima huruf bukan Arab yang terdapat dalam tulisan Jawi ialah Ca ( ﭺ ), Nga ( ڠ ), Pa (ق ), Ga (گ ), dan Nya ( ڽ ). Huruf-huruf ini dicipta untuk melambangkan bunyi-bunyi yang lazim disebut pada lidah Melayu. Huruf-huruf baharu ini ditiru daripada huruf Arab yang seakan-akan sama bentuknya.

Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi.

Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu. Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Tulisan ini digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. Contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi (Wikipedia, 2008).
Komen Facebook
0 Berikan komen anda
abam ming. Powered by Blogger.