Widgets

Ahmad Said tak hadir penyampaian watikah pelantikan JKKK 2014 / 2015

Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said masih belum muncul di hadapan khalayak ramai di Kemaman selepas menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.



Tinjauan Sinar Harian di kediaman peribadi beliau di Teluk Kalong semalam juga mendapati, kawasan pekarangan rumahnya sunyi dan lengang serta tiada kerja persiapan majlis perkahwinan dilakukan di bahagian luar kediaman.

Bagaimanapun, beberapa kanopi bersaiz besar dan bangsal beratap zink telah siap terpasang di sekitar kediaman beliau sebagai persiapan kenduri perkahwinan anak perempuannya yang dijadualkan berlangsung pada 17 Mei ini.

Bahkan, Ahmad juga tidak hadir pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JKKK Daerah Kemaman 2014/2015 yang berlangsung bermula jam 8 pagi di Dewan Utama, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik yang dijadual dirasmikan oleh beliau.

Kain rentang program yang turut terpapar wajah mantan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu yang digantung di dalam dewan kemudian diturunkan kira-kira jam 10 pagi.

Terdahulu, difahamkan papan iklan bersaiz gergasi atau ‘billboard’ yang terpapar wajah bekas Ketua Umno Bahagian Kemaman itu turut ditutup dengan kain kuning oleh pihak berkaitan kira-kira jam 4 pagi di kawasan persimpangan lampu isyarat berdekatan
Kompleks Beli Belah Centre Point Kamaman di Chukai.

Pada masa sama, beberapa kain rentang bekas Ketua Umno Bahagian Kemaman itu yang dipasang di beberapa kawasan di daerah ini turut diturunkan.

Tindakan itu dilakukan susulan pelantikan Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar baharu dan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah malam semalam.

Difahamkan ketika media Kemaman memburu beliau di kediamannya sehingga ke petang semalam, Ahmad berada di Kuala Terengganu.
Komen Facebook
0 Berikan komen anda
abam ming. Powered by Blogger.