Widgets

1,848 permohonan pertukaran guru berjaya - Mahdzir Khalid


1,848 permohonan pertukaran guru berjaya - Mahdzir Khalid


Kata Mahdzir (gambar), katanya bagi pemohon yang tidak berjaya, tawaran lain akan diberikan kepada mereka. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan telah meluluskan 1,848 daripada 7,000 permohonan pertukaran guru yang berjauhan dengan pasangan masing-masing.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia merupakan kumpulan pertama yang diluluskan di bawah jawatankuasa khas.

"Kita telah wujudkan satu jawatankuasa khas untuk membantu guru-guru yang sudah lama berjauhan dengan pasangan masing-masing,

"Kami mengambil berat terhadap pasangan yang sudah lima hingga tujuh tahun berpisah dengan pasangan," katanya selepas majlis penyerahan peruntukan penyelenggaraan kepada sekolah bantuan kerajaan di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya bagi pemohon yang tidak berjaya, tawaran lain akan diberikan kepada mereka.

"Kita akan tawarkan benda lain kepada pemohon yang tidak berjaya.

"Contohnya, kalau isteri tidak boleh berpindah ke tempat suami, kami akan tawarkan supaya suami boleh berpindah ke tempat isteri," jelasnya.

Bulan lalu, Kementerian Pendidikan telah mengarahkan bahagian pengurusan sumber manusia dan bahagian pengurusan sekolah harian untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji semula secara holistik sistem sedia ada dan mencari mekanisme baharu bagi mengatasi masalah pasangan guru suami isteri yang berjauhan.

Sementara itu, menurut Mahdzir, kemasukan bagi pelajar yang sekolahnya terjejas akibat banjir untuk sesi persekolahan baru yang akan bermula seperti biasa iaitu pada Januari 2016.

Katanya, ini kerana sekolah terbabit tidak terjejas secara menyeluruh.

"Kebanyakan sekolah yang terlibat banjir tidak melibatkan semua blok sekolah.
"Oleh itu, persediaan bagi sesi persekolahan baru tidak akan terjejas," katanya.

Beberapa sekolah di beberapa negeri terjejas akibat banjir baru-baru ini termasuk di Sarawak, Selangor dan Perak.

Tambahnya, setakat ini persiapan sesi persekolahan baru bagi 10,100 sekolah di seluruh negara secara keseluruhannya berada di tahap baik.

Komen Facebook
0 Berikan komen anda

Post a Comment

abam ming. Powered by Blogger.