Widgets

Penjawat awam Terengganu dapat bonus RM500 – MB

KUALA TERENGGANU – Penjawat awam kerajaan negeri akan diberi bonus RM500 yang akan dibayar selewat-lewat hujung bulan ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata ia sebagai menghargai sumbangan penjawat awam negeri seperti yang dilakukan kerajaan persekutuan.

Katanya kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta untuk lebih 12,000 kakitangan awam negeri bagi membiayai kemudahan persekolahan tahun baharu anak-anak penjawat awam.

Ahamd Razif memberitahu pemberita demikian selepas membentangkan Bajet Negeri 2016 pada Persidangan Ketiga Dun Ke-13 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk memberi bonus RM500 kepada guru Kafa dan guru Pintar Al-Quran seperti tahun lepas.

Ia melibatkan peruntukan RM1.9 juta kepada lebih 3,700 orang guru-guru berkenaan, katanya.

Dalam ucapan pembentangan bajet, Ahmad Razif menyifatkan Bajet 2016 sebanyak RM2.103 bilion bakal memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat dengan meliputi isu seperti perumahan, kemiskinan, keusahawanan, perkhidmatan, sukan, pendidikan, pembangunan, pertanian, perladangan komoditi, perikanan, pelancongan dan prasarana perniagaan.

“Walaupun bajet kerajaan negeri kali ini dikurangkan berbanding tahun sebelumnya, tetapi rakyat tidak akan terjejas langsung dengan bajet ini,” katanya.

Antara perkara menarik dalam Bajet 2016 ialah golongan muda serta mereka yang bekerja dari rumah yang berminat untuk menjalankan perniagaan dalam talian akan menerima manfaat dari peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada peminjam yang layak.

Kerajaan negeri turut mencadangkan pembinaan 20,000 unit rumah baharu di mana sebanyak 5,000 unit akan dibina oleh Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), 5,000 unit oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan 10,000 unit oleh kerajaan negeri. – Bernama
Komen Facebook
0 Berikan komen anda

Post a Comment

abam ming. Powered by Blogger.